Behind the scene, Ibnu Batuta Journey to Mecca.
Filem dokumentari selama 45 minit ini saya tonton di I-Max, Birmingham. Bersebelahan dengan Think tank Science Museum. Apa yang didokumentasikan adalah perjalanan haji Ibnu Battuta. Beliau berasal dari Morocco. Memulakan pengembaraan pada tahun 1325 sewaktu sebaya saya dan pulang ke kampung halamannya di Tangier selepas ~29 tahun mengembara. Fakta membanggakan dan diakui sendiri oleh orientalis barat adalah pengembaraan beliau 3 atau 4 kali lebih hebat dari Marco Polo.
Jalan ceritanya ringkas, tidak pula diceritakan sejarah hidup beliau sejak lahir ataupun apa yang berlaku selepas beliau menunaikan haji. Cukup sesuai dengan tajuk dokumentari ini iaitu Journey To Mecca. Sinopsisnya anda bolehlah mewiki ataupun menggoogle. Pengalaman melihat Journey to Mecca melalui giant screen membuatkan saya seolah-olah bukan pemerhati maya, tetapi pemerhati sebenar perjalanan haji Ibnu Batuta.
Malahan, apabila rombongan Ibnu Batuta sampai ke Madinah, hati saya juga bersorak gembira apabila terbayang perjalanan hijrah Rasulullah.
Filem dokumentari arahan Ben Kingsley ini membuatkan saya sebak melihat Baitullah, terasa sungguh terpanggil untuk beribadat dan menghadapkan diri padaNya di sana. Tempat itu jugalah menjadi saksi dimana Rasulullah mula mengembangkan sayap dakwah Islam, keperitan dan kesakitan yang dialami oleh golongan assabiqun al- awwalun dalam mempertahankan Islam. Tempat dimana Allah mendidik jiwa-jiwa core group dakwah Islam.
Pada saya, filem ini adalah filem kedua yang saya lihat menggunakan latar belakang yang bersungguh-sungguh untuk menggambarkan suasana umat Islam ketika zaman dahulu selepas filem The Message. Filem ini menggambarkan suasana ketika zaman pemerintahan kerajaan Abasiah.
Harapan saya, agar filem seperti ini lebih banyak dihasilkan. Ini kerana filem seperti ini memberikan input learning yang baik dan mengembalikan rasa izzah pada Islam.
Akhir kata, bagi mereka yang terlepas untuk menonton filem ini, akan diadakan tayangan kedua pada 21 Jun ini, ataupun untuk maklumat yang lebih sahih, anda boleh menelefon sendiri I-Max. Dokumentari ini begitu mempesonakan saya sebagai seorang pengkaji sejarah tak jadi. [hehe].
Nota untuk diri: Sampai bila kita menjadi pemerhati mereka menjadi pengkaji?
No comments:
Post a Comment