Sunday 23 September 2012

[reviu] Mandala Dunia Kedua

Tajuk: Mandala Dunia Kedua

Penulis: Azizi Haji Abdullah

Penerbit : PTS Litera

Harga: RM 18.00


Teringat saya akan perbualan dengan seorang kawan, mungkin main-main, mungkin juga serius.

A: Eh, ko nak kahwin dengan tokey balak tak?

B: Tak nak la..

A: Kenapa taknak? kaya apa...Takpun ko tak nak sebab dia rosakkan alam sekitar.

B: Ha ah, sebab dia merosakkan alam sekitar,sebab tu la aku tak nak.

Alam Sekitar, nadi bumi. Hutan belantara, jantung penguat kehidupan di dunia. Novel terakhir Ustadz Azizi Haji Abdullah sebelum beliau meninggal dunia. Saya kira satu karya hebat. Penulis bukan sahaja mempunyai susunan kata yang menarik, bahkan penulis juga menerangkan keadaan di dalam novel dengan sungguh terperinci, hingga terdetik  hati saya, "hebatnya, penulis umpama ahli ekologi yang memang sangat memahami keadaan di dalam hutan belantara." Novel ini juga merupakan sebuah novel akidah, penuh perincian dan setiapnya dikaitkan dengan Allah Maha Pencipta.

Dua watak utama, Sima dan Jon. Seorang pensyarah dan seorang sarjana ekologi. Kedua-duanya mahu mencari dunia kedua, mahu lari dari hiruk pikuk hutan batu yang penuh dengan keserabutan, penyelewengan, jenayah dan segala-galanya sangat menyesakkan minda. Sima dan Jon, berkenalan lalu apabila menyedari mereka berdua mempunyai matlamat yang sama, iaitu mahu lari dari hutan batu, akhirnya keduanya merancang untuk meneroka Banjaran Titiwangsa, mencari dunia kedua.

Jon, berbekalkan nilai moralnya, dia tidak membawa tuhan bersama, cukuplah sekadar mempunyai nilai moral yang kukuh, masuk ke hutan belantara, untuk mengagumi dan memelihara ciptaanNya, bukan Pencipta. Sima, berbekalkan keimanannya bersama-sama Jon ke hutan belantara. lalu bermulalah kehidupan mereka berdua, bersama dalam satu khemah.

Melalui novel ini, pelbagai persoalan yang bermain di minda saya, sebagai seorang manusia yang normal, saya terfikir, apakah Sima dan Jon mampu bertahan hidup bersama, sima dengan imannya sebagai seorang muslim, jon dengan nilai moralnya. Di dalam novel ini juga, penulis sarat meletakkan elemen-elemen aqidah melalui perbualan Jon dan Sima.

Banjaran Titiwangsa, hakikatnya banjaran ini amat dekat dengan kehidupan saya. mana tidaknya, saya hidup berdekatan dengan banjaran ini. Usai membaca novel ini, apabila saya melihat banjaran Titiwangsa, unpama saya kembali semula ke dunia novel Mandala Dunia Kedua. Ustadz Azizi, cantik sekali di gambarkan keadaan banjaran titiwangsa, hebat sekali kesannya kepada saya. Apabila membaca novel ini, hati saya umpama tergores juga apabila melihat ada kesan tarahan tanah di banjaran ini. Semakin lama manusia semakin tamak, semakin rakus mencabul hutan tropika hingga lupa bahawa itulah tunjang kehidupan mereka.

Hutan, banjaran. Saya pasti anda sudah tahu apakah kegunaannya. Tanpa banjaran dan hutan, mungkin kita tidak mampu hidup dengan amannya.

Saya teringat satu point yang saya baca dari buku, Doktor Umum, karya Dr. Mahathir. Beliau menyatakan bahawa perindustrian lebih menguntungkan dan memberi peluang pekerjaan berbanding sektor pertanian. Bayangkan, seekar tanah apabila digunakan untuk pertanian, ianya hanya mampu memberi peluang pekerjaan kepada seorang petani, namun apabila seekar tanah dibangunkan untuk perindustrian, ianya mampu memberi peluang pekerjaan yang lebih banyak, boleh jadi berpuluh-puluh. Namun, apabila di fikirkan semula, bila tiba masanya, manusia tidak akan mampu hidup dengan hasil perindustrian. Manusia tidak akan mampu hidup dengan hanya ada kereta besar, telefon mudah alih yang canggih, teknologi yang hebat, namun tiada makanan. Ianya menyedarkan saya akan sehebat manapun pembangunan di masa ini, namun apabila tiada keseimbangan, hanya kerosakan yang akan berlaku. Saya tidak mengatakan pendapat Dr. M salah, pendapatnya betul dan dengan pemikiran beliaulah negara kita membangun. Namun, keseimbangan itu perlu ada supaya kita mampu meneruskan kemandirian hidup secara semula jadi. Tidak perlu meneroka planet lain untuk didiami, cukuplah dengan memakmurkan bumi yang ada ini dengan sebaiknya.

Mandala Dunia Kedua, sebuah novel yang pastinya tidak mengecewakan. Saya kira sudah hampir tiga minggu saya habis membaca novel ini, namun isinya masih bermain-main di fikiran saya. Satu karya sastera yang sarat dengan ilmu, kesedaran dan juga pasak aqidah. Semoga roh pennulis ditempatkan di kalangan roh orang-orang yang soleh. Setiap yang beliau titipkan, merupakan ilmu yang sangat berguna, dunia dan akhirat.


Wallahualam

Hidayah Bani
Nottingham.

Wednesday 12 September 2012

[reviu] Memoir Seorang Guru

Judul :Memoir Seorang Guru

Penulis: Azizi Abdullah

Penerbit: Alaf 21

Harga: RM13

Bil. Mukasurat: 299





Azizi haji Abdullah. Satu nama yang tidak asing satu masa dahulu dan kini semakin luput namanya untuk dijadikan buah mulut generasi muda kini. Kunjungan saya ke kedai buku semasa cuti telah menggerakkan hati saya untuk membaca karya allahyarham Ustadz Azizi Abdullah. Akhirnya, saya mencapai karyanya yang bertajuk Memoir Seorang Guru.

Novel ini mengisahkan tentang seorang bapa yang sangat-sangat bersungguh menghalang anaknya daripada menceburi profesyen perguruan. pelik! Itulah reaksia anaknya, mengapa bapa tegar menghalang niat sucinya, ingin menjadi seorang guru. Akhirnya, tiada apa yang mampu di ungkapkan dengan kata-kata, hanyalah 'bapa tidak suka kamu menjadi guru'. Namun, hati tua si bapa, siapa yang tahu. Hanyalah memori sebagai seorang guru Pendidikan Islam menceritakan segalanya. memoir-memoir inilah yang telah membangkitkan rasa, menjadi tulang belakang kepada mesej novel ini. Memoir yang penuh seribu makna, benci, dendam, perasaan penuh bersalah dan dikejar bayang-bayang dosa. Alangkah tiada berkatnya profesyen guru padaku..inilah yang hanya mampu terluah lagi oleh seorang bapa.

Novel ini pendek, namun mesejnya sarat. Ringkas, namun bisa membuatkan pembaca muhasabah panjang. Menarik nafas...berfikir sejenak. Diri saya sendiri, sebagai seorang bakal guru. Apabila membaca novel ini, saya tidak tahu hendak letakkan diri di mana. Adakah saya ingin meletakkan diri sebagai murid yang dibenci ataupun menjadi tenaga pengajar yang penuh dengan kebencian.

'Takah Murabbi'...sering di ulang-ulang dalam novel ini. Si bapa terasa menyesal kerana sepanjang profesyennya sebagai guru, takah murabbi itu sangat jauh untuk dicapai. Saya juga bungkam apabila terbaca patah-patah perkataan ini...apakah guru ini hanyalah profesyen yang cukup bulan makan gaji ataupun menjadi murabbi kepada anak-anak harapan.

Walaupun setelah dua minggu berlalu, namun ada beberapa perkara yang sering bermain di fikiran saya. Pertamanya adalah mengenai menjadi 'guru' ataupun 'murabbi'. kedua adalah mengenai keberkatan dan ketiga adalah adakah saya mampu menyemai perasaan sayang kepada murid-murid ataupun perasaan sebaliknya, iaitu benci. Satu perasaan yang memang dibenci.

Saya menghela nafas lega apabila dapat menamatkan novel ini. Lenggok bahasanya, jalan ceritanya..mampu membuatkan saya sebak, benci, dan juga berfikir, 'benarkah ini perasaan seorang guru?'. Apapun, saya masih lagi belum berada di dunia realiti profesyen perguruan. Masa terus berlalu, mungkin sahaja sikap murid-murid yang diceritakan di dalam memoir ini adalah sikap murid-murid di zaman 60-an, 70-an dan juga 80-an. Masa berlalu, ragam semakin berubah, dunia semakin mencabar, kadangkala belajar hanya untuk pandai, budi langsung tidak tersemai. . Inilah yang saya dapat perhatikan kini, rencah kepada dunia perguruan. Namun, inilah realiti, gosoklah mata beberapa kali, dan teruskan menyusun langkah kaki.

Harga buku ini adalah RM13. Sangat berbaloi. Boleh didapati di kedai-kedai buku berhampiran ataupun boleh juga dibeli secara online. Bacalah! Satu bahan bacaan yang membuatkan kita memuhasabah diri, tidak kira sama ada anda bakal guru ataupun tidak, sekurang-kurangnya anda pernah menjadi anak murid kepada seorang guru.