“Raga emak mungkin enggak mampu buat melewati samudera yang luas begitu untuk pergi ke Tanah Suci, tapi mak yakin, Allah pasti tahu….Hati mak sudah lama disitu, sudah lama…”
Dialog ini membuatkan saya bertambah sebak, terkesan.
Walaupun filem ini tidak menggunakan pelakon-pelakon yang cantik dan kacak, latar belakang yang agak hebat, namun sentuhan karyawan yang menghasilkan filem ini pada saya agak berisi. Mesej yang disampaikan ringkas, jelas, menarik perhatian penonton untuk terus melihat hingga akhir cerita dan menampakkan realiti masyarakat akan hasrat suci seorang wanita lanjut usia untuk menunaikan haji di Tanah Suci Mekah.
Kredit Gambar: Google |
Pada awal cerita lagi saya sudah terasa sebak, melihat halangan dan cabaran yang dihadapi oleh wanita tersebut untuk menunaikan haji. Beliau bukanlah seorang yang kaya, hanyalah seorang penjual kuih- muih dan juga ibu pada seorang pelukis yang bernama Zein. Saya sangat tertarik dengan sikap dan perwatakan wanita tersebut, perwatakan beliau yang sabar, tulus dan penuh kebaikan dalam kehidupan membuatkan saya mudah terkesan dengan apa yang disampaikan melalui watak tersebut. Filem ini agak sederhana, latar belakang filem juga hanyalah masyarakat biasa ataupun boleh dikatakan masyarakat yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Segala pergantungan diletakkan pada Allah.
Melihat kesungguhan ibunya mengumpul wang, Zein juga turut mencuba pelbagai cara untuk membantu ibunya antara usaha beliau yang agak mendebarkan adah mencuri, namun begitu matlamat tidak menghalalkan cara, Allah Maha Berkuasa. Jalan kehidupan ini memang tidak akan lekang dengan cabaran, pelbagai cabaran yang dihadapi oleh mereka berdua, anak Zein jatuh sakit sakit, bekas isteri zein yang datang menganggu dan juga masalah kewangan yang sentiasa membelenggu. Namun begitu ibu Zein tidak merasa itu masalah kewangan yang membebankan kerana hatinya yang tulus ingin membiayai kos pembedahan cucunya, membantu jiran tetangganya hingga mengorbankan wang tabung haji yang telah lama dikumpul oleh beliau. Di sebalik watak ibu Zein yang murni ini pasti terdapat watak yang agak kontras dengan watak utama. Kehidupan mereka yang berbeza telah digarap oleh pembikin filem ini, tipikal tetapi itulah yang sebenar.
Ya, cerita ini agak biasa, simple, tidak perlu latar belakang hijau, biru ataupun unsur-unsur mistik untuk menginsafkan penonton,kos yang berjuta- juta untuk membuat penonton membuka mata, ataupun aksi yang menjolok mata agar penonton faham apa yang ingin disampaikan[baca: faham untuk praktikkan, bukan untuk kesan]. Saya masih suka membandingkan filem Indonesia dengan filem di tempat saya. Bukan saya terlalu menyanjung karya luar, cuma kadangkala kita perlu memandang ke arah lain untuk menilai dimanakah tahap kematangan kita membuat pilihan dalam mengisi senarai hiburan kita.
Pada saya, bagaiman filemnya begitulah penontonnya, mana mungkin prosuder filem di tempat saya ingin membuat filem sebegini rupa sekiranya tidak akan mendapat kutipan yang tinggi. Tanpa permintaan, sesuatu perkara tidak akan berlaku dengan sendirinya. Filem di tempat saya masih lagi mementingkan aktor dan aktress yang cantik dan popular, latar belakang yang mewah, unsur mistik yang berlebihan ataupun lawak jenaka hingga keluar air mata apabila menonton, aduh semua itu kosong walaupun zahirnya menghiburkan, sukar sungguh untuk saya menggarap nilai-nilai murni melalui filem di negeri sendiri, ada juga filem yang menginsafkan, namun seram yang berlebihan membuatkan saya terlupa mesej yang disampaikan. Ada juga filem yang ingin menunjukkan realiti masyarakat, namun realiti negative yang ditunjukkan agak berlebihan hingga yang sampai pada penonton adalah ‘buatlah benda ni’, bukan ‘jangan buat benda ni’.
Filem yang memakan masa selama 1 jam 25 minit nuansa adaptasi dari novel yang mempunyai tajuk yang sama iaitu Emak Ingin Naik Haji karya Asma Nadia ini tidak membuatkan saya menguap, malah filem ini memanggil-manggil saya supaya mengingati Allah, menunaikan Rukun Islam yang ke lima iaitu menunaikan haji di Mekah bagi yang mampu. Tidaklah mampu untuk saya mencoret keseluruhan jalan cerita,(baca:tengok sendiri) kerana nilai- nilai murninya terdapat pada setiap sudut. Anda lihatlah dengan mata hati akan sikap manusia dipentas ciptaanNya iaitu dunia. Saya asyik juga teringatkan ibu saya di kampung yang masih belum berpeluang untuk menunaikan haji, cerita ini menaikkan semangat untuk saya bersedia membantu ibu dan bapa saya untuk menunaikan haji.
.
Saya? Rindu pada Tanah Suci itu, bersedia? hanya Allah yang tahu.
No comments:
Post a Comment