Alhamdulillah, akhirnya dengan ketakjuban masa yang telah Allah ciptakan, tahun 2011 hampir melabuhkan tirainya. Tahun 2011 umpama satu tahun yang penuh perubahan buat saya, penuh kejutan dan tentunya perkara yang tidak di duga.
Bermula dari Januari 2011, Arab Spring menyaksikan satu revolusi yang masih lagi dinamik hingga kini. Begitulah juga revolusi yang berlaku dalam diri, semoga saya redha dengan segala pemberian Allah dan Allah Redha pada saya.
Segala yang berlaku menuntut pengorbanan dan air mata. Namun Allah ingin mengajar saya satu konsep, iaitu Redhalah dengan pemberian Allah, dan kejarlah Redha Allah, iringilah segalanya dengan sabar.
Antara yang paling menjadi ingatan buat diri saya ialah Allah izinkan saya menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah buat kali pertama. Saya harap lambaian saya kepada Rumah Allah dan Masjid Nabi bukanlah yang terakhir. Terma Kasih Allah kurniakan saya peluang dan kemampuan.
Dalam masa setahun, dua tahun akademik digabung bersama. Menjadi pelajar tahun dua dan tiga adalah satu pengalaman yang sangat berharga dan tidak mungkin berulang lagi. Pelajar tahun dua, penuh dengan praktikal yang mencabar, pernah sekali, hampir enam jam saya berdiri membuat eksperiment, akhirnya produk saya hilang begitu sahaja! Allah, hanya Dia sahaja yang tahu apa perasaan saya. Namun amali dari tahun dua amat membantu saya hingga ke tahun tiga. Alhamdulillah, minggu depan insyaAllah saya akan mulakan amali untuk projek tahun akhir saya yang bertajuk synthesis and characterization of novel mixed oxide fluoride.
Sungguh mengenai kehidupan sebagai Hamba Allah yang sentiasa mencari dimanakah cintanya pada Penciptanya, saya bagaikan tiada apa pun yang hendak diceritakan , tidak terucap ataupun tercoret dengan kata-kata dan tulisan, namun ianya adalah satu perasaan yang memenuhi hati lalu mengalirkan pelbagai gerak geri jasadi umpama mawar yang menyerbakkan baunya, umpama mentari yang menerangi bumi. Kadangkala ianya terus terlahir melalui senyum sendiri ataupun tanpa sedari air mata panas membasahi pipi.
Tahun 2011 hampir berlalu, saya masih lagi diri saya. Masih lagi melihat masa lampau dan memandang kehadapan, menyambung titik-titik dalam kehidupan untuk dijadikan lukisan, khas untuk dipersembahkan kepada Maha Pengasih. Saya harap lukisan ini mempunyai pengakhiran yang baik walaupun mungkin pada awalnya penuh dengan kesan comot, pertengahan mungkin tidak konsisten, mungkin juga ada cantiknya dan juga ada yang jeliknya, namun saya harap pena yang saya pegang sentiasa hasilkan timeline yang terbaik khas untuk Pencipta saya.
Tahun 2011 hampir berlalu, saya masih menanti salji turun membasahi bumi. Mungkin ini salji yang terakhir untuk saya lihat. Mungkin jua bukan yang terakhir sekiranya Allah izinkan saya berada di sini untuk setahun lagi. Hajat di hati, tentulah ingin menyambung pengajian dalam bdang pendidikan di bumi inggeris ini. Semoga Allah tentukan yang terbaik untuk saya sama ada Malaysia mahupun UK.
Semoga Allah pandu hatiku;
Setiap kesusahan, diiringi kesenangan, percayalah..itulah janji Allah kepada hambaNya dan Dia tidak akan pernah memngkirinya.
ps: hajat hati mahu berpuisi, namun hati juga tidak pasti sama ada hati sedang rawan mahupun segan atau apa-apa je la. :P
ps2: memang agak peribadi.-.-''
ps2: memang agak peribadi.-.-''
2 comments:
"memang agak peribadi"? huhu..best ape..*lama xkomen kt sini
sebab ini reviu diri sendiri pulak.:p
anyway jazakillah sudi melawat
Post a Comment