Saturday, 31 December 2011

[Reviu] 2011

Alhamdulillah, akhirnya dengan ketakjuban masa yang telah Allah ciptakan, tahun 2011 hampir melabuhkan tirainya. Tahun 2011 umpama satu tahun yang penuh perubahan buat saya, penuh kejutan dan tentunya perkara yang tidak di duga. 

Bermula dari Januari 2011, Arab Spring menyaksikan satu revolusi yang masih lagi dinamik hingga kini. Begitulah juga revolusi yang berlaku dalam diri, semoga saya redha dengan segala pemberian Allah dan Allah Redha pada saya.

Segala yang berlaku menuntut pengorbanan dan air mata. Namun Allah ingin mengajar saya satu konsep, iaitu Redhalah dengan pemberian Allah, dan kejarlah Redha Allah, iringilah segalanya dengan sabar.

Antara yang paling menjadi ingatan buat diri saya ialah Allah izinkan saya menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah buat kali pertama. Saya harap lambaian saya kepada Rumah Allah dan Masjid Nabi bukanlah yang terakhir. Terma Kasih Allah kurniakan saya peluang dan kemampuan.

Dalam masa setahun, dua tahun akademik digabung bersama. Menjadi pelajar tahun dua dan tiga adalah satu pengalaman yang sangat berharga dan tidak mungkin berulang lagi. Pelajar tahun dua, penuh dengan praktikal yang mencabar, pernah sekali, hampir enam jam saya berdiri membuat eksperiment, akhirnya produk saya hilang begitu sahaja! Allah, hanya Dia sahaja yang tahu apa perasaan saya. Namun amali dari tahun dua amat membantu saya hingga ke tahun tiga. Alhamdulillah, minggu depan insyaAllah saya akan mulakan amali untuk projek tahun akhir saya yang bertajuk synthesis and characterization of novel mixed oxide fluoride.


Sungguh mengenai kehidupan sebagai Hamba Allah yang sentiasa mencari dimanakah cintanya pada Penciptanya, saya bagaikan tiada apa pun yang hendak diceritakan , tidak terucap ataupun tercoret dengan kata-kata dan tulisan, namun ianya adalah satu perasaan yang memenuhi hati lalu mengalirkan pelbagai gerak geri jasadi umpama mawar yang menyerbakkan baunya, umpama mentari yang menerangi bumi. Kadangkala ianya terus terlahir melalui senyum sendiri ataupun tanpa sedari air mata panas membasahi pipi.

Tahun 2011 hampir berlalu, saya masih lagi diri saya. Masih lagi melihat masa lampau dan memandang kehadapan, menyambung titik-titik dalam kehidupan untuk dijadikan lukisan, khas untuk dipersembahkan kepada Maha Pengasih. Saya harap lukisan ini mempunyai pengakhiran yang baik walaupun mungkin pada awalnya penuh dengan kesan comot, pertengahan mungkin tidak konsisten, mungkin juga ada cantiknya dan juga ada yang jeliknya, namun saya harap pena yang saya pegang sentiasa hasilkan timeline yang terbaik khas untuk Pencipta saya.

Tahun 2011 hampir berlalu, saya masih menanti salji turun membasahi bumi. Mungkin ini salji yang terakhir untuk saya lihat. Mungkin jua bukan yang terakhir sekiranya Allah izinkan saya berada di sini untuk setahun lagi. Hajat di hati, tentulah ingin menyambung pengajian dalam bdang pendidikan di bumi inggeris ini. Semoga Allah tentukan yang terbaik untuk saya sama ada Malaysia mahupun UK.

Semoga Allah pandu hatiku;

Setiap kesusahan, diiringi kesenangan, percayalah..itulah janji Allah kepada hambaNya dan Dia tidak akan pernah memngkirinya.

ps: hajat hati mahu berpuisi, namun hati juga tidak pasti sama ada hati sedang rawan mahupun segan atau apa-apa je la. :P

ps2: memang agak peribadi.-.-''



Friday, 30 December 2011

[reviu] Nothing To Envy; Real life in North Korea




Tajuk: Nothing to envy; Real Lives In North Korea


Penulis: Barbara Demick


Harga: Amazon; £5.99, Normal: £8.99


Bil. Mukasurat: 316
Rating: 5 bintang






Nothing To Envy; hanyalah terlihat pada tajuknya sahaja, lain dari apa yang saya fikir. Rupa-rupanya, itulah propaganda Kim Il Sung dan Kim Jong Il dalam usaha mereka menegakkan komunisma, sosialisma dan melawan kapitalisma. Apa yang menjadikan saya tiba-tiba membaca buku ini adalah apabila seorang sahabat saya meminta  untuk membeli buku ini untuknya dan juga kematian 'dear leader' mereka iaitu Kim Jong Il.

Berkisarkan kisah benar di North Korea, satu negara yang pada saya wujud hanya pada nama. Tidak terkupas oleh mana-mana media di dunia tentang apakah keadaan negara ini? apa yang ada? bagaimana budayanya? penduduknya? ekonomi dan politiknya?

Penulis buku ini; Barbara Demick adalah seorang journalis Amerika yang tinggal di Seoul(2001), pada masa tersebut, kesukaran untuk jurnalis ini melawat Korea Utara telah menyebabkan beliau menemurah pelarian-pelarian Korea Utara yang kini tinggal di Korea Selatan(KS). Masa selama tujuh tahun telah diambil dalam usaha beliau menemuramah pelarian-pelarian dari Korea Utara(KU) lalu dikumpul menjadi buku.

Pelbagai perasaan yang tidak dapat digambarkan apabila membaca buku ini, terkejut, pelik, geram, sedih, semuanya bercampur baur. Bab pertama buku ini, iatu gambar satelit waktu malam memaparkan perbandingan antara KU dan KS, apa yang membuatkan saya terkejut adalah KU tiada bekalan elektrik! yang ada hanyalah di Pyongyang, iaitu ibu negara komunis tersebut.

Gambar satelit yang menunjukkan bagaimana KU dan KS ketika waktu malam.
Pelik! Hebat. Itulah yang tergambar apabila saya membaca buku ini, propaganda menutup segalanya, menutup apa yang penduduk KU sedang alami. Kononnya berkorban demi 'Dear Leader' mereka. Selepas tahun 1990, keadaan KU bertambah teruk apabila kebuluran semakin meningkat, ekonomi semakin teruk. Kerana prinsip negara ini yang independent, tiada import eksport dengan negara luar. Apa yang lebih teruk, mereka tidak dibenarkan berjual beli, bercucuk tanam kecuali dengan syarat-syarat tertentu. 

Mengapa negara ini tiada siapa tahu penderitaan yang di alami? 

Mereka dikawal ketat, setiap perumahan akan ada mata-mata yang akan sentiasa melaporkan apa yang mereka dapati kepada pihak kerajaan, lalu siapa yang mengutuk kerajaan ataupun dikenali sebagai disbeliever akan ditangkap dan dipenjara. Siapa pula believer? Believer adalah mereka yang percaya dengan propaganda yang disebarkan. Mereka setia pada Kim Jong Il dan Kim Il Sung. Tiada apa, ok sahaja apabila kebuluran, apabila mereka tiada kerja, tidak dibenarkan bercucuk tanam, berjual beli, mereka ok sahaja kerana 'dear leader', pada mereka Kim Il Sung disembah bagaikan tuhan dan Kim Jong Il bagaikan anak tuhan. Apa yang menarik perhatian saya ialah, setiap rumah di KU akan dibekalkan dengan potret KJI dan KIS beserta kain putih yang perlu digunakan untuk mengelap potret tersebut, kemudian akan ada tentera datang membuat spot-check, memastikan potret tersebut di lap, tiada debu, habuk!



Apa yang dikawal?
Negara yang sedang membangunkan program Nuklear dan memiliki armada tentera ke-empat terbesar di dunia ini sangat 'menjaga rakyat' mereka. 

Mereka dikawal, setiap mereka yang ingin mempunya televisyen perlu patuh dengan polisi open door. Setiap televisyen akan ditetapkan dengan rancangan TV oleh kerajaan sahaja. Cerita, buku, filem semuanya berkisarkan propaganda. Tiada apa yang bukan propaganda. Di saat KS jauh mendahului dengan Samsung, Hyundai, pemuda-pemuda di KU kelaparan, tiada pekerjaan, mundur, tiadak tahu apa itu internet, jauh dengan dunia luar. Namun, apa yang mereka tahu hanyalah' merekalah yang terbaik', ini kerana  melalui propaganda, KS, China, teruk, lebh teruk menghadapi kebuluran, kemiskinan berbanding mereka. Itulah dia apa yang tersurat di sebalik propaganda 'Nothing To Envy, we proud to be North Korean'.
Salah satu poster propaganda


Tainted Blood; Darah tercemar


Kehidupan di Korea Utara adalah berdasarkan kasta, dari Workers Party hinggalah kasta sebagai labour, miners. Inilah kelas-kelas sosial mereka, golongan yang dikenali sebagai Tainted blood adalah golongan seperti bekas askar Korea Selatan yang menetap di Korea Utara selepas Korean War, mereka yang pernah melakukan jenayah, dan melawan ideologi komunis. Tainted blood akan berkekalan hingga tiga keturunan, pada waktu ini, hak mereka diabaikan, mereka tidak dibenarkan untuk menempatkan diri ke kasta lebih tinggi, ke Institut pengajian tinggi dan tidak akan terpilih untuk apa-apa event yang ekslusif kerana tainted blood.

Self-Reliance
Melalui ideologi yang diajar sejak mereka kecil, self reliance sangat ditekankan. Seperti yang kita tahu, melalui ideologi komunis; manusia mempunyai kuasa untuk mengawal alam dan juga segala yang baik dan buruk adalah datang dari diri mereka sendiri. Apa yang dicoretkan oleh penulis di dalam buku ini mengenai self reliance adalah; mereka akan bekerja dan akan memperoleh kupon, kemudian melalui kupon tersebut mereka akan dapat makanan dari pihak kerajaan. Tiada konsumerisme, seperti yang saya sebut diatas, mereka dilarang untuk berjual beli, bercucuk tanam dan menjalankan import eksport.

Dear Leader; Kim Il Sung

Dear Leader
Menarik! Untuk terus menghebatkan propaganda, segala ucapan Kim Jong Il dan juga Kim Il Sung akan dibaca oleh pembaca berita dan televisyen dengan nada yang sungguh gah sekali. Rakyat KU tidak pernah mendengar suara pemimpin mereka secara live, inilah yang lebih membuatkan mereka berasa Dear Leader mereka sungguh istimewa, namun tembelang pecah jua apabila dalam buku ini, salah seorang watak iaitu Jun sang mendengar suara 'Dear Leader' dari Radio Korea Selatan yang didengar secara curi-curi. Apabila mendengan, Jun Sang hanya menggeleng dan berfikir, sah lah 'dear leader' mereka ini hanyalah manusia biasa. Namun brainwash mengatasi segala-galanya bagi mereka yang tidak mengetahu hakikat sebenar.

Ridiculous Restriction
 Selepas satu, satu pula sekatan dikenakan, dan pada kita, inilah sekatan yang agak merepek dan tidak bagi Workers' party. Mereka telah melarang penjaja kecuali wanita tua yang berumur 40 tahun ke atas, para pemuda perlulah melapor diri untuk bekerja di kilang-kilang tidak kira sama ada kilang tersebut mampu atau tidak untuk membayar gaji kepada mereka. Kemudian, sekatan dikenakan terhadap barangan jual beli, polis khas akan sentiasa mengawal jual beli ini agar tiada pelanggaran sekatan. Mereka tidak boleh berjual beli beras, kacang soya dan jagung, alat penjagaan diri, makanan ringan, pakaian dan sebagainya atas alasan barang-barang tersebut adalah dari China. Berkata mengenai pakaian, mereka menghalang penjualan pakaian dari China atas alasan pakaian tersebut terlalu berwarma dan ini tentulah tidak sesuai dengan pendirian mereka yang sosialis. Selain itu juga, alasan yang dikenakan adalah mereka patut menyokong barangan dari KU.

" We are supposed to buying North Korean products instead of Chinese. But NK does not make anything- it all comes from China- So there is nothing to buy". 
Luah hati salah seorang ahli perniagaan di KU ketika penulis menemuramahnya di China.

" Our general wants to bring back socialism the way it used to be''.


North Korean are waiting, for a tram, or maybe for a  passing car?, a friend or relative? maybe they are waiting for nothing in particular, just waiting for something to change.
                                                                                                          Barbara Demick, 2010


Thursday, 29 December 2011

Aku lihatmu....

Aku melihatmu bintang
Hanyasanya bilanganmu tidak terkira
Cantik gemerlapan, lagi memukau mata
Kau cantik, aku mahu kau jadi penemanku
Namun, tatkala awan gelap tiba, siang menjelma,
Kau tinggalkanku

Aku lihat pula padamu bulan
Kau satu dalam seribu bintang
Kau lah paling terang, engkaulah pilihan hatiku
Aku jatuh cinta padamu
Sering aku lihat kamu, 
Sambil cerita kisah suka duka ku
Kau jadi saksi, tawa dan tangisku
Kala awan gelap tiba
Gerhanalah kamu
Kau juga  pergi tinggalkanku

Aku lihat matahari
Kau sumber kehidupan
Kau lebih hebat dari bulan dan bintang
Aku kira, tanpamu tiadalah kehidupan
Kau jadi saksi kerja kerasku
Mencari ilmu, rezeki, ibrah di bumi tempat tinggalku
Namun awan gelap menjelma
Mendunglah bumi
Malam menjelma, hilanglah mentari
Kau jua, tinggalkanku

Tangisan menjelma
Malam gelap gelita, tanpa bintang dan bulan
Siang mendung suram tanpa terik mentari

Masa berlalu
Ampunkan aku
Aku manusia pelupa
Aku mencari yang ada, tiada
Hingga lupa pada yang selalu ada
Sang Pencipta dan Pencinta
Sungguh, aku manusia pelupa
Terlalu mencintai ciptaan 
Hingga aku terlupa pada Zat Maha Pencipta
Sungguh, ampunkan aku


Kesatlah air mata
Hilangkanlah hiba
Rabbmu sentiasa ada
Mengawasimu sepanjang masa
Tuhanmu tidak pernah lupa
Walau hakikatmu hanyalah manusia alpa

Kala terasa diri tidak punya apa

 Hanya tangisan menerpa menyelubungi masa
Hentikanlah tangismu
Mulakan langkah yang baru
Mohonlah pada Rabbmu
Pimpinlah jalanmu
Menuju pada Cintamu yang hakikatnya Satu
Dihadapanmu masih ada rumah-rumah Allah
Disana ada kemanisan
Disana ada penawar duka






Monday, 12 December 2011

Justifikasi antara seni dengan hedonisme.


Kritikan hebat  Atan Ali yang disiarkan di utusan Malaysia baru-baru ini memberikan gambaran jelas  kemana hala tuju industri perfileman nagara kita. Adakah ianya mahu menegakkan unsur seni ataupun menegakkan budaya hedonism semata?

Islam tidak menghalang perkembangan  seni, malah banyak nilai-nilai Islami diteraapkan melalui syair hatta ketika zaman Rasulullah sekalipun[1,2]. Rasulullah membenarkan orang Yathrib mendendangkan Thalaal Badru ‘Alaina sempena menyambut ketibaan baginda. Ketika membina masjid Nabawi, Rasulullah turut serta bermadah[2]. Seni itu luas dan mempunyai matlamatnya yang tidak kosong semata-mata. Seni juga melambangkan budaya dan cara hidup sesebuah masyarakat. Lhat sahaja seni bina istana-istana kerajaan Umayah Andalus  yang diasaskan oleh Abdul Rahman Ad-Dakhil , Istana al-Hambra di Granada, seninya tidak dapat dihakis lagi bahawa ianya adalah seni bina Islam.

Namun di Negara kita kesenian kian kabur, mungkin juga sebelum kedatangan Islam ke negara kita, aspek seni banyak dipengaruhi oleh kebudayaan hindu. Selepas adanya Islam, seni orang melayu banyak dipengaruhi unsur-unsur Islam antaranya marhaban, ghazal, dan sebagainya.

Hedonisme? Apakah itu?

Hedonisme  diambil dari bahasa yunani iaitu hedonismos yang membawa kepada ‘kesenangan’, menurut kamus oxford  ia membawa makna " the pursuit of pleasure; sensual self indulgence", jika diterjemahkan kepada bahasa melayu ianya menunjuk kepada mengejar keseronokan,  tiada disiplin diri dalam mengawal nafsu.

Tanpa  kita sedar, kita sendiri telah kabur dimana letaknya seni, dan dimana letaknya hedonism. Ada juga pihak yang mencantikkan hedonism dengan topeng ‘seni’. Kehebatan lakonan yang tiada nilai juga disebut sebaga seni. Namun, apakahh nilai lakonan tersebut? Adakah ianya hanyalah tuntutan nafsu jasadi?  

Dari segi rancangan televisyen, konsert, kebanyakannya lebih membawa kepada kesenangan sementara  berbanding dengan adanya nilai-nilai seni yang bermanfaat. Hedonisme yang dipakaikan dengan pakaian seni melahirkan generasi muda yang terkinja-knja di konsert, yang melalukan seks bebas, melahirkan anak luar nikah, pakaian yang semakin kurang kain dan sebagainya. Jika dilihat dengan jelas,apakah ini seni? Kesannya tiada yang positif, namun negatif. Tidak menguntungkan bangsa kita sedikit pun.

Nilailah semula, apakah nilai akhlak yang anda boleh dapat melalui filem di Negara kita, Mat Remp-it, Impak Maksima, Hantu kak Limah pulang  ke rumah, pisau cukur dan yang terbaru lebih berombak, ialah ombak rindu. Mengenai Ombak rindu, saya hanya dengar-dengar sahaja, kerana saya tidak pernah membaca edisi novelnya. Siapa Izzah, siapa Haris? Tipulah jika saya tidak tahu kerana apabila saya bertanya(survey) dari lima  orang kawan saya, empat daripadanya memang tahu siapa mereka. Hebat sungguh penangan 'seni' tanah air. :)

Jika jawapan saya sendri, apa yang saya dapat hanyalah gelak tawa, ataupun adalah sedikit rasa sedih. Namun, apabila ditanya dimanakah nilainya, mungkin saya akan diam ataupun kabur, dimana saya mahu cari nilainya? Ataupun jika saya cari tidak jumpa kerana memang tiada pun! Kehidupan? Ya, mungkin ada, namun ianya hanyalah gambaran kehidupan yang negative dan tidak memberikan inspirasi pun kepada golongan yang ingin mencari makna hidup, malah boleh jadi mengajar kepada mereka realiti hidup yang negatif.

Melentur buluh biarlah dari rebungya,
Ayah kencing berdiri, anak kencing berlari,

Jika kanak-kanak/ remaja yang masih mencari jalan hidup, sekiranya dipengaruhi dengan unsur-unsur ini, inilah yang menjadi ‘pengajaran’ kepada mereka.

Mengajar orang muda umpama mengukir di atas batu, kerjanya rumit, panjang, namun hasilnya asli. Jika cantik ukirannya, tinggilah nilainya. Itulah peranan kita kepada diri kita dan generasi muda dalam mengukir diri. Jangan tunggu hingga kita sudah tua, baru hendak belajar bagaimana hendak membentuk diri. Jika pada waktu itu, ianya umpama mengukir di atas air, mudah sahaja, namun kesannya hampir tiada.

Akhir sekali, nasihat untuk diri saya sendiri yang masih cetek ilmu pengetahuan, merangkak mencari makna hidup, mengutip pengalaman dari orang yang lebih dewasa, carilah seni, bahan bacaan yang tidak merugikan kita. Kajilah sejarah, sirah, hasil-hasil tulisan tokoh-tokoh Abbasiyah, Umaiyah, Uthmaniyyah dan juga ketika zaman Khulafa al-Rasyidin, tokoh 'Golden ages' kita, apalah kita kenal dengan  Ibn al-Jawzi, apakah kita kenal dengan Ibn rajab, para tabien, para sahabat? apakah kita tahu bagaimana kisah mereka menawan puncak dunia berprinsipkan Islam?

Tepuk dada, tanyalah iman : )



Wallahualam.

Rujukan:
[1] Syamail Muhammad s.a.w, Imam al-Tirmizi, Telaga Biru Pub., hal:159

[2] The sealed Nectar( Sirah Nabawiyah, Raheequl Makhtum), Safiur-Rahman Al-Mubarakpuri, Darussalam pub. , page: 172./ Versi PDF bahasa melayu, hal: 95/276.




Saturday, 10 December 2011

Benefitting from time and oppurtunities

" Know my son, that days consist of hours and hours are made of the breaths you take. Every breath is a treasure chest, so beware of letting a breath pass by with no benefit. You do not want to find an empty treasure chest on the Day of judgement and regret".

Ibn al-Jawzi, Sincere Counsel To the Students of Sacred Knowledge, pg:49.

Wednesday, 7 December 2011

Antara idealistik, realistik dan praktikal.


Idealistik,
Terlalu,
Hingga kabur akan reliti sebenar
Kehidupan fizikal kita
Kehidupan seharian
Terlalu mengkritik apa yang ada ,kerana inginkan ke idealistik an
Melabel manusia lain kerana indikator idealistiknya
Merendah diri lah
Janganlah tergesa-gesa
Kaji dahulu
Lihatlah dunia dengan lebih realistik
Hidup ini masih panjang
'faham', 'tidak faham'...
Apa indikatornya hingga kita tergamak berkata sebegitu rupa?

Sentiasa berdoa
Sabar.. kefahaman adalah satu proses.
Terimalah sesuatu idea dengan rasional
Bukan dengan emosional
Jangan kita merigidkan sesuatu benda hinggalah dunia ini kelihatan begitu sempit.

Realistik
Boleh direalisasikan
Namun, di dalam kerealistikan ini
Jangan kita lupa konsep keseimbangan.
Sederhana.
Jika berpuasa, punya masa untuk berbuka. Jika solat malam, ada masa untuk tidur.
Kehidupan seharian kita
Sangat menuntut konsep keseimbangan dalam kita merealisasikan tugas dan matlamat.
Jangan tergesa-gesa.
Selami satu persatu
Jangan mudah putus asa
Setiap dari kita punya limitnya
Tapi jangan hingga kita yang meletakkanya
Padahal belum berusaha sehabisnya

Praktikal.
Boleh diamalkan, mampu dilihat kesannya, baik ataupun tidak.
Boleh dikaji
Terutamanya di zaman super mencabar ini
Di saat kita rasa kita bertanggungjawab menyusun, menyiapkan diri
Jangan kita lupa menyusun dan menyiapkan hati.
Aku rasa perlu lebih jelas
Apa itu kehidupan
Bukan kehidupan sebagai duat sahaja
Namun sebagai peribadi mukmin
Perlu lebih praktikal
Jangan  hanya mahu itu, mahu begini
Di majlis-majlis kita sahaja
Katanya ekslusif.
Tidak.
Peribadi mukmin itu di mana-mana.
Di dalam dewan kuliah, di dalam masyarakat, di antara rakan sebaya, di antara orang kafir
Di mana dan bagaiman kita bawa diri
Itulah kita
Berdoalah
Agar Allah kurniakan kefahaman
Dan kita dapat menerimanya dengan baik.
Bukan menerima dengan tergesa-gesa
Hingga akhirnya
Jadi rigid.
Perkara yang mudah, lagi dirumitkan
Kaji dahulu.

Wahai diriku,
Jangan kecilkan, jangan rigidkan dunia dengan istilah
Besarkanlah dunia kita dengan praktikalti
Fikirlah dengan lebih realistik
Lihatlah dari segi sudut 3 dimensi
Umpama kita melihat sebuah kiub.
Kita dapat lihat bagaimana sisinya
Bahagian hadapannya
dan bahagian sisinya.
Jangan mudah menunding jari.
Jangan mudah menyalahkan pihak itu dan pihak ini
Lihat semula siapa diri kita.
Jika kita menunding jari kepada orang lain
Lihatlah, hanya satu jari ke arah 'objek' tersebut
Kalau style aku tunjuk, dua jari.
lagi 3 jari pada diri sendiri.
Apakah itu maknanya aku menunding pada kamu,
Aku lebih baik daripada kamu?
Tidak.
Tentu sekali post ini adalah untuk aku.
tiga lebih banyak dari dua jari kan.
Maknanya, kerja untuk muhasabah diri, mencari self motivation lebih perlu berbanding...
sibuk, mengkiritik, menunding jari.

Idealistik, realistik dan praktikal.
Alangkah bagusnya seandainya tiga beradik ini dapat kerja bersama:)

Wallahulam.





Friday, 2 December 2011

Bangau oh Bangau



Actually, waktu kecik-kecik, aku nyanyi je lagu ni.
Lagu rakyat kan..
Bila dah sekarang,
 aku perasan
Apa yang hendak disampakan melalui lagu ni.

1)Alasan
2)Ego

Akhirnya lagu ni terus melarut, berjela.
Berjela.
akhirnya, bila tanya si ular.
ular teus menjawab tanpa berdalih
itu makanan aku.

Habis lagu.

kalau ular beri alasan lagi.
Ak tak tahu berapa panjang lagu tu.
Inilah sebenarnya apa yang mungkin orang sebelum ni hendak sampaikan
dari segi moral, nilai hidup, iman.

Aku pun
Reflek jugak
Banyak jugak alasan
Dan alasan tu adalah untuk menutup ego kita
Menutup kesalahan kita
Yang kadangkala kita sukar untuk terima

Kadang-kadang kita sukar untuk terima sebab kita pandang kepada peribadi orang yang menegur
Kita selar peribadi dia
Sampai kita lupa perkara yang hendak disampaikan
Walaupun perkara tu betul.

" Perhatikanlah apa yang dikatakan orang, jangan memperhatikan siapa yang mengatakannya"
                                                                                                         Saidina Ali B Abi Talib

Lagu ni menggambarkan juga satu komuniti
Yang memang saling tak habis menyalahkan
Memang tak habis la masalah
Kalau setiap pihak saling menyalahkan.
Betul kan?


Moral: Jangan contohi resmi Bangau, ikutlah ular.




Thursday, 1 December 2011

Racun Dalam Hidangan? Duri dalam daging

Saya masih ingat lagi, semasa saya membaca Raheequl Makhtum, ada satu bahagian yang sangat sedih. Membuatkan saya hampir menangis.

Kisah yang berlaku sewaktu perang Khaibar. Apa yang berlaku pada baginda?

Seorang wanita yahudi, telah meletak racun yang kuat kesannya pada kambing yang dihidangkan kepada baginda dan sahabat-sahabat. Rasulullah makan. Lalu Rasulullah meminta semua orang berhenti makan kerana kambing tersebut memberitahu bahawa dia mengandungi racun!

Namun, ada juga sahabat baginda yang makan. Lalu syahid!

Rasulullah menderita kesan dari racun tersebut hingga baginda wafat.

Apa alasan wanita tersebut?

Dia ingin melihat kenabian baginda, sekiranya baginda memaafkan, benarlah Muhammad adalah seorang nabi. Sekiranya dia selamat dan baginda wafat, maka baginda hanyalah seorang raja. Raja biasa.

Akhirnya, terbukti baginda memang nabi.


Aku terharu kerana sikap pemaaf baginda dan juga derita yang dialami hasil dari racun tersebut.

Aku masih menyemai cinta kepada baginda. Walhal baginda sudahpun menyematkan cintanya kepada umatnya.

Alangkah kerdilnya aku.

Rujukan;
1)Sirah Nabawiyah(Raheequl Makhtum) versi PDF, hal. 221-222. Perihal kambing beracun.
2) Syamail Muhammad saw, lauk Rasulullah saw, hal.103-104.