Saturday 25 August 2012

[reviu] Travelog Impian Abadi

Tajuk : Travelog Impian abadi, itu yang tertulis

Penulis: Raudzah Roslan

Bil. Mukasurat : 257

Harga : MYR 19:00

Tahun terbitan: 2012









Buku ini telah saya baca ketika bulan puasa yang lepas, boleh saya katakan buku ini agak santai dan saya tidak mengambil masa yang lama untuk menghabiskan buku ini. Perkara pertama yang saya ingin katakan adalah, penulis bijak menimbulkan pelbagai persoalan dalam kepala membaca sehingga saya menyelak sedikit bab akhir untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang bermain di minda saya.

Mengapa saya memilih buku ini,

Saya lihat buku ini sudah tersusun di rak buku, mungkin sahaja kakak saya belikan ketika dia berkunjung ke Pesta Buku April lepas. Saya lihat juga buku-buku lain, namun memilih untuk membaca buku ini kerana kulit bukunya yang cantik. (dan ya, saya salah seorang yang melihat pada kulit buku :p). Cantik, detik hati saya apabila melihat kulit buku ini.

Sebenarnya, saya tidak kenal siapa penulisnya, maka ia juga menimbulkan pertanyaan. Maka bermulalah operasi saya mengkaji buku ini, helaian demi helaian, bab demi bab..akhirnya saya tersenyum. Boleh tahan buku ini.

Apa yang menarik

Penulis menceritakan kisahnya semasa di ITM(kini UiTM), bagaimana beliau memulakan hidup di sana, bagaimana persahabatan dan cabaran. Namun, apa yang penulis tekankan di permulaan cerita adalah kisah dahsyat minggu orientasi yang beliau hadapi! Maka, dalam kepala saya juga terbayang minggu orientasi saya di UPM yang memang dahsyat letihnya. Memang tradisi universiti di Msia agaknya.

Abang Lu'e menjadi persoalan dalam kepala saya, siapakah abang Lu'e, apakah nanti penulis akan berkahwin dengan abang Lu'e? dan inilah yang membuatkan saya menyelak sedikit ke penghujung buku. Hasilnya, ya. Penulis berkahwin dengan abang Lu'e dan saya pun puas hati.

Kemudian, penulis menceritakan cabaran yang dihadapinya selepas mendapat diploma, alam pekerjaan yang serba mencabar. Kemudian alam perkahwinan yang ada sahaja dugaannya.


Siapakah penulis?

Hakikatnya, persoalan siapalah penulis ini dan juga siapakah suami penulis bermain di fikiran saya. Hinggakan saya  terfikir-fikir sewaktu raya. Muhd Kamil b Ibrahim. Macam pernah dengar nama ni. Rupa-rupanya suami penulis adalah Prof. Kamil, penulis buku travelog haji, travelog dakwah dan buku-buku lain. Seorang ahli akademik.


Apa yang saya dapat?

Tentulah ini soalan yang bermain di kepala saya memandangkan saya tidak mahu menggunakan masa dengan sia-sia, membaca sebab hendak habiskan buku pada saya memang buang masa. Apa yang saya dapat adalah pengalaman penulis dan juga kisah hidup graduan universiti pada tahun 80-an. Pada waktu iti tidak ramai rakyat Malaysia yang dapat belajar hingga ke pengajian tinggi. Apa pun, melalui travelog ini dapat kita lihat bagaimana hidup seseorang boleh berubah.

Buku yang santai ini, lebih kepada perkongsian, pengalaman hidup. Pengalaman hidup manusia ternyata berbeza walaupun hakikatnya matlamatnya adalah sama. Mengapa matlamatnya sama? Kerana manusia, tidak kira muslim mahukan bukan muslim ingin mengecapi tiga perkara ini;

1) Ketenangan hati dan jiwa
2) Kekayaan
3) kebebasan.

Tetapi, tidak ramai yang dapat mengecapi ketiga-tiga perkara ini, apa yang kita lihat, ada yang dapat mengecapi perkara pertama dan ketiga, namun tidak perkara yang kedua, ada yang dapat mengecapi perkara kedua, namun tidak untuk yang pertama.

Inilah fitrah manusia, matlamat keinginan kita dan ianya lebih cantik apabila didasari dengan aqidah Islam. Namun, kita sebagai muslim perlu ditambah lagi satu matlamat; iatu Syurga Abadi.

Wallahualam

Hidayah Bani
25/8/12


Friday 24 August 2012

[reviu] Diari Musafir; Jangan Berhenti 'Berlari'

Tajuk : Diari Musafir Jangan Berhenti Berlari

Harga : MYR 35.00

Bil. Mukasurat: 448

Penulis : Dr. Zaharuddin Abdul Rahman

Genre: Motivasi











Alhamdulillah, Allah telah mengizinkan saya menghabiskan buku ini dalam masa yang singkat.

Mengapa saya memilih buku ini?

Kali pertama saya melihat buku ini adalah di KLIA, pada waktu itu saya hampir-hampir ingin membeli buku ini, memandangkan masa yang ada agak singkat, maka saya lupakan hasrat saya dan mencapai buku yang lain. Namun, keinginan saya untuk membaca buku ini masih tidak terbantut apabila saya menemui buku ini buat kali kedua. Saya amat merasakan buku ini adalah buku 'mesti baca' saya. Bukannya apa, saya kerap juga membaca blog ustadz Zaharuddin dan amat mengagumi beliau dari segi kepakarannya dalam fiqh muammalat dan kesungguhannya berjuang dalam menegakkan perbankan Islam. Beliau salah seorang ulama yang berani dalam menjawab soalan-soalan kontreversi khususnya mengenai fiqh muamalat.

Apabila kita kagum dengan seseorang, dan mengetahui beliau sudi berkongsi serba sedikit kisahnya, masakan kita tiada keinginan untuk mengambil tahu, untuk kita jadikan motivasi dan ilmu dalam menjalani kehidupan yang serba mencabar.

Hampir-hampir bertemu.

Saya masih ingat ketika SESSi yang diadakan di Birmingham ketika saya di tahun satu pengajian, ada dua slot selari, slot tersebut ialah : Muamalat dan juga politik Islam, pada ketika itu, saya tidak mengenali Ustadz Zaharuddin, lalu saya memilih untuk mendengar ceramah mengenai politik Islam.

Apa yang menarik?

Buku ini mempunyai dua bahagian, bahagian pertama adalah travelog beliau ketika masih belajar dan bahagian kedua adalah travelog kerjaya. Sudah tentu saya lebih berjaya menghayati travelog bahagian pertama. Tambahab beliau juga adalah salah seorang anak Malaysia yang menyiapkan PhD di UK.
Untuk bahagian kedua, apabila membaca bahagian tersebut, sudah tentulah apa yang saya fikir, memang mencabar kehidupan selepas belajar kerana inilah medan praktikan dan tidak semuanya akan ideal!

Pada permulaan lagi beliau sudah menyuntik semangat pembaca melalui kisah beliau mengukir kejayaan, tidaklah kejayaan yang datang adalah kerana memang beliau bijak, namun kerada adanya kesungguhan dan berani mencabar diri untuk membat yang terbaik.

Kisah beliau di Jordan juga agak menarik, bagaimana kesungguhan beliau menuntut ilmu di luar universiti menampakkan beliau seorang yang tidak akan melepaskan peluang belajar dari guru-guru yang memang tersohor di sana. Ketika di UK, beliau menceritakan kisah hidupnya di sana dan juga pengalaman beliau mengembara di tempat-tempat lain seperti Jerman, Switss, Czech.

Apa yang saya dapat melalui buku ini?

Sudah tentulah semangat dan juga ilmu yang beliau garapkan melalui buku ini. Buku ini juga memberikan saya inspirasi agar memanfaatkan masa yang ada di UK untuk menghadiri simposium, ceramah yang boleh memantapkan kerjaya saya. Memanfaatkan masa yang ada untuk bertemu dengan tokoh-tokoh yang berada di UK. Melalui buku ini juga, saya lebih belajar bahawa untuk berjaya, tipulah sekiranya tiada kegagalan yang di tempuhi.

Buku ini ternyata memberi kepuasan kepada saya, jika boleh diberi rating, saya akan memberikannya 5 bintang. Buku ini juga banyak membuatkan berhenti dan berfikir, lebih membuka minda, lebih bersangka baik dalam menghadapi cabaran yang bakal mendatang.

Ahli Akademik?

Ini adalah kerjaya ustadz Zaharuddin buat masa ini, sebagai pensyarah di IIUM. Untuk menjadi ahli akademik, beliau banyak melepaskan peluang untuk menjadi CEO, vice president of syariah dan banyak lagi kerjaya yang gajinya mencecah puluh ribu sebulan. Ini kerana neracanya adalah saham akhirat dan juga kesederhanaan dunia. Bukannya kerjaya lain tidak dapat menyediakan beliau saham akhirat, namun bagi beliau, menjadi pensyarah adalah profesyen yang sesuai dengan matlamat beliau.


Akhir kata, saya amat berpuas hati dengan buku ini dan merasakan bahawa buku ini ada rohnya tersendiri. Selain itu, untuk menghabiskan buku ini tentulah perlu pada 'driving force', namun driving force ini adalah terletak pada diri kita sendiri sama ada apa neraca kita membaca sesebuah buku. Jika ingin menambah ilmu dan juga mengoreksi diri, bacalah dengan rendah diri dan kesediaan untuk belajar. Mungkin kita ada prinsip kita sendiri, namun dalam usia yang setahun jagung ini dan masih 'muda', gunakanlah masa yang ada untuk menganalisa, belajar. Jangan tergesa-gesa mengatakan itu, ini, membuat itu ini seolah-olah kitalah pakar. Dengan hanya ilmu yang sekerat-kerat, mudahlah sesat dan terjerat.


Monday 20 August 2012

Hujan

Assalamualaikum dan Salam Syawal. Alhamdulillah, Allah izinkan kita menemu Syawal setelah melalui bulan Ramadhan. 1 Syawal, hari kemenangan, raikanlah dengan takbir membesarkan Al-Rahman. Masih terbayang setiap patah kata sms sahabat saya yang berbunyi, "kemenangan yang sebenar adalah pembebasan dari api neraka". Memang benar.

2 Syawal, langit gelap. Awan yang sarat mengadungi air, berat berarak menuju tempat yang telah Allah swt  perintahkan. Tepat pada masanya, keluarlah titisan air hujan membasahi bumi, Alangkah Kasihnya Allah kepada kita, tidak pula diturunkan hujan itu dalam titisan yang besar ataupun umpama pukulan ombak dari langit. Allah turunkan hujan dalam titisan air yang kecil, yang kadangkala apabila membasahi wajah akan menyelindungi titisan air mata yang turun menggambarkan rasa. Mungkin air mata gembira, mungkin juga kecewa.

Aroma hujan yang muncul setelah membasahi bumi, kilat petir hebat bersabung membuatkan hati ini ingin menggarap puisi, mungkin jua penuh cacat celanya;





Rekahan tanah semakin keras membatu
Debu berterbangan seolah bersetuju
Kini bumi menjadi kering layu
Umpama hati yang telah berubah tandus dan keliru

Awan berarak jauh berliku
Datang bersama rahmat Ar-Razzaaq yang seribu
Bumi yang mula putus asa 
Mula bersemangat membangkit rasa

Titisan air
Basah menyuburi bumi
Asbab menghidupkan yang mati
segunung harapan untuk dinikmati
khalifah dan abid ciptaan Ilahi

Ya Rahman, Ya Fatah, Ya Quddus, Ar-Razzaaq
Telah berpesan Maha Pencipta
Serulah Ia dengan mana-mana nama
99 Asmaul Husna

Titisan hujan
Bukan sahaja membasahi bumi
Malah membasahi hati
Melembutkannya yang kian kering kian keras

Kini hujanpun berlalu
Menyuburkan taman yang kian layu
Menyegarkan mata yang telah redup dibuai lena
Meninggalkan aroma yang tiada tandingannya

Terima Kasih Ya Rahman
Hambamu lemah tiada  tautan
Kuatkan hatinya Al-Baasith
Agar sentiasa percaya
HanyaMu layaknya tertambatnya ikatan





02:38 PM
Perak Darul Ridzuan


Monday 13 August 2012

[reviu] Doktor Umum

Tajuk: Doktor Umum

Penulis : Tun Dr. Mahathir Mohamad

Bil. ms: 982

Harga: MYR 59.00










Assalamualaikum dan Salam Ramadhan.

Alhamdulillah, saya selamat menghabiskan buku ini dalam masa tiga minggu. Mungkin pada anda yang ulat buku merasakan waktu ini agak lama. Namun, 3 minggu inilah yang saya termampu untuk membacanya. Kadangkala ada hari yang saya tidak membaca langsung, ada hari yang saya mampu menelaah berbab-bab, umpama membaca novel. Namun, di bulan Ramadhan ini, di samping menggunakan masa dengan membaca, perlulah juga kita bersama-sama lebih menggunakan masa untuk membaca dan menghayati kitab suci Al-Quran.

Mengapa saya memilih buku ini?

Saya sudah bercita-cita untuk membaca memoir Tun. Mahathir sejak tahun lepas lagi(2011), ketika pelancaran buku ini versi bahasa inggeris. Saya masih ingat lagi ketika saya di kedai buku, hampir mencapai buku ini (versi bahasa inggeris), namun pantas pekedai tersebut mengatakan  buku ini akan dicetak dalam versi bahasa melayu. Lalu, saya pun meletakkannya semula.

Secara jujurnya, saya ingin sangat membaca buku ini adalah untuk mengetahui dengan mendalam pemikiran, idea, latar belakang, susur galur politik dan pengurusan kehidupan peribadi beliau sebagai orang yang paling lama menyandang jawatan sebagai perdana menteri Malaysia seterusnya mengenal sendiri negara Malaysia.

Saya masih ingat lagi bagaimana cabaran yang dihadapi oleh beliau, beliau digelar firaun, maha zalim dan paling popular diktator, apatah lagi apabila terdengar rancak perbualan mengenai krisis beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelbagai lagi label yang dikeluarkan untuk mengecop beliau. Mungkin kerana lamanya beliau di tampuk pemerintahan, maka pengalaman beliau umpama mutiara bagi sesetengah pihak dan sebaliknya bagi pihak yang lain. Sebagai generasi muda, amat rugi sekiranya kita tidak mahu mengutip pengalaman yang beliau sendiri lakarkan tidak kira kita di pihak yang mana. Sebelum ini, apa yang saya baca, dengar mengenai beliau kebanyakannya dari akhbar dan juga khabar-khabar sekeliling. Keluar sahaja memoir ini, ianya umpama satu pencerahan buat saya kerana beliau sendiri menceritakan apa yang berlaku sepanjang perkhidmatannya sebagai doktor dan juga ahli politik di Malaysia.

Bacalah dalam konteks ilmu

Bacalah buku ini dalam konteks ilmu, sekiranya anda ada pemikiran anda. Anda berpegang sahajalah. Namun apa yang saya dapat melalui buki ini sangat banyak. Apa pun, anda sendiri menilainya saat anda membaca buku ini, apa yang anda ingin dapat melalui buku ini.

Apa yang menarik

Secara peribadinya, banyak bab yang menarik. Antara bab yang menjadi kegemaran saya adalah kisah beliau semasa zaman peperangan, bagaimana beliau mensustain kehidupan dan pemikirannya yang pro-barat pada waktu tersebut. Bab tentang krisis ekonomi Malaysia, tentang undang-undang dan juga tentang Tun Daim. Sejak kecil lagi saya sudah mendengar akan kehebatan Tun Daim dan pada waktu tersebut saya telah memasang cita-cita ingin menjadi seorang ahli ekonomi. Namun, masa telah berlalu dan kini apabila membaca apa yang Dr. M coretkan megenai Tun Daim saya semakin kagum dengan beliau. Bab mengenai krisis beliau dengan timbalannya sudah tentu antara perkara yang saya ingin tahu.

Saya tersenyum apabila beliau bercerita mengenai cita-cita beliau ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam jurusan undang-undang. Antara sebab beliau memasang cita-cita tersebut adalah kerana beliau suka melihat perbahasan/perdebatan. Saya juga pernah mempunyai perasaan yang sama mungkin. Kebanyakan cita-cita saya sewaktu zaman persekolahan adalah  berpaksikan sains sosial. Namun Allah lebih tahu dan kini saya adalah graduan sains tulen. Masa berlalu, minat kita pada sesebuah bidang tidak akan hanya tersekat dengan jurusan yang di ambil ketika di universiti , dimana ada kemahuan disitu ada jalan, saya kerapkali berkata kepada diri saya sendiri agar tidak berputus asa dalam bidang sains tulen dan pada masa yang sama menjauhi bidang sains sosial. Jangan menjumudkan diri pada satu dimensi sahaja.

Buku yang tebalnya hampir 1000 mukasurat ini pada saya sarat dengan kisah suka dan duka. Sudah menjadi kebiasaan saya untuk lebih tersentuh ketika membaca buku puisi dan juga buku sejarah. Namun bukan novel cinta. Kadangkala saya baca juga novel cinta kerana buku tersebut menghiasi rak buku di dalam bilik, namun saya tahu yang cerita di dalam novel tersebut adalah bohong dan terlalu ideal. Tetapi, sejarah adalah perkara benar yang telah berlaku dan pengalaman seseorang yang amat berharga. Ianya mungkin tidak ideal, namun pernah berlaku. Pragmatik.

Pendapat peribadi yang lain?

Ketika saya membaca buku ini, terlintas juga di fikiran saya untuk membaca memoir pemimpin-pemimpin Malaysia yang lain dan saya rasa buku ini adalah salah satu buku yang paling menarik pernah saya baca. Mungkin kerana apabila meyelak, menelaah buku ini..saya terus membayangkan negara kita Malaysia dan ternyata buku ini bagaikan isi dengan kuku apabila dikaitkan dengan pembangunan Malaysia.
Apapun, ternyata beliau disegani dalam dan luar negara. Ketika saya berada di luar negara, sekiranya saya memberitahu yang saya berasal dari Malaysia, kebanyakan mereka hanya akan mengenal Dr. M. Pada waktu itu, saya terfikir juga, mngapa mereka (kebanyakannya adalah penduduk Britain yang berasal dari Bangladesh, Pakistan, Arab, Palestin dan negara timur tengah) begitu menyanjung Dr. M dan apabila saya sebut pemimpin lain, mereka tidak kenal. Akhirnya buku ini memberi jawapan kepada persoalan tersebut.


Akhir kata, jika anda berminat, silalah jangan segan silu membaca memoir ini. Mungkin saya agak terlambat dalam me'reviu' buku ini kerana ianya sudah berada di pasaran setahun yang lepas.



Hidayah








Monday 6 August 2012

Visualisation

Visualisation amat penting bagi mereka yang mempunyai visi dan misi yang jelas akan matlamatnya. Dimana dia akan berada 5 tahun, 10 tahun akan datang. Apakah yang perlu dilakukan dari sekarang untuk merealisasikan visual yang telah dibayangkan.

Forward visualisation penting untuk cita-cita, backward visualisation iaitu yang telah berlaku, amat penting untuk dijadikan muhasabah. Apapun, melalui pengalaman sendiri, saya kerap memberitahu ibu saya yang saya masih boleh membayangkan apa yang berlaku pada saya ketika usia saya belum pun sampai 3 tahun! Saya masih ingat yang saya pernah terlibat dalam satu kemalangan kecil. Walaupun kecil, nampaknya visual tersebut penting untuk saya ingat hingga kini. Saya juga masih ingat waktu bagaimana saya menunggu dihalaman rumah, mundar-mandir menunggu ketibaan ibu saya bersama adik baru. Waktu itu umur saya masih belum 3 tahun. Namun, mungkin peristiwa dapat adik baru amat bermakna buat saya. Sebab itulah saya mampu ingat hingga kini.

Semakin usia kita berjalan merentasi ruang masa, semakin pelbagailah backward visualisation kita. Ada yang sedih, gembira, tiada perasaan , cemas dan juga yang penuh dengan provokasi! Kadangkala, dari backward visualisation inilah kita semakin takut untuk merangka forward visualisation dan mampu sahaja kita menjadi lebih teruja untuk merangka forward visualisation.

Apapun, setiap dari kita mempunyai forward visualisation masing-masing dan visualisation ini hanya akan teralisasi dengan izin Allah. Sebagai manusia, gambaran, angan-angan mampu membawa kita hanyut ke satu alam ciptaan sendiri yang memberikan kita hak seolah-olah kita akan hidup selama-lamanya. Itulah sebabnya, setiap kali kita mevisualkan cita-cita kita, perlunya kita sentiasa ingat kepada Allah, penentu apa yang kita impikan.

Backward visualisation pula biarlah ia menjadi kunci untuk kita menghisab diri dan kembali kepadanya, bukannya sebagai kunci untuk kita berasa bongkak dengan apa yang telah dicapai ataupun terlalu sedih dengan apa yang telah berlaku.

Wallahualam.

ps: Perkataan forward visualisation dan backward visualisation adalah ciptaan sendiri penulis menurut definisi beliau sendiri. Jika anda google, anda tidak menjumpai definisi seperti yang dimaksudkan. heh.

Bumi Malaysia
1026 pagi.