Friday 16 November 2012

[Reviu] Filem: Laskar Pelangi


Filem: Laskar Pelangi

Durasi : 2 jam 30 minit

Pengarah : Riri Riza, merupakan adaptasi dari novel Laskar Pelangi
                karya Andrea Hirata











sebuah filem yang diadaptasi dari novel Laskar Pelangi, malangnya saya belum membaca novel tersebut, jadi saya tidak mampu menilai adakah filem ini benar-benar membangkitkan roh yang dicoret oleh Andrea Hirata dengan baik.

Telah banyak cubaan yang saya lakukan untuk fokus melihat filem ini, sejak dari tahun pertama pengajian saya di universiti, hinggalah ke tahun akhir, semua cubaan berakhir dengan saya hanya melihat suku dari filem ini. Seolah-olah saya tidak apat merasai apa yang ingin disampaikan melalui filem ini atau kata mudahnya saya tidak faham apakah mesejnya.

Akhirnya, ketika saya di tahun empat pengajian, tergerak juga hati saya untuk menonton semula filem ini, bukan apa.. hanya perasaan ingin tahu. Filem ini  menjadi buah mulut orang dan  novelnya juga mendapat sambutan. Perasaan ingin tahu membawa saya untuk cuba menonton kembali filem ini.

Setelah beberapa kali cubaan, barulah saya faham apakah mesej filem ini. Ternyata filem ini mampu meninggalkan kesan kepada penonton. Saya kira tulang belakang filem ini adalah kepentingan pendidikan tanpa mengira kelas sosial,semangat dalam menuntut ilmu dan juga semangat murabbi dalam usaha menyampaikan ilmu dalam keadaan yang holistik, syumul dengan mengambil kira aspek duniawi dan ukhrawi. Saya kira filem ini baik untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat terutamanya golongan pendidik.



Filem ini adalah filem yang realistik, berlatarbelakangkan zaman 80-an, ketika mana Malaysia dan Indonesia gigih dan bergantung kepada perusahaan bijih timah. Namun, lewat 80-an, harga bijih timah menjunam jatuh di pasaran, menyebabkan Indonesia dan Malaysia rugi besar. Latar belakang sosial pula adalah kelas sosial yang rendah, dimana murid-murid di SD Muhammadiyah adalah anak nelayan, buruh bijih timah. Mereka bukan anak kelas pertengahan apatah lagi golongan elit. Lihat muka sahaja, semuanya comot-comot belaka. Pada saya antara mesej filem ini juga adalah hak kesamaan dalam pendidikan masih belum tercapai lagi.

Pendek kata, filem ini adalah filem yang sarat dengan mesej mengenai kepentingan memperjuangkan pendidikan yang holistik, mengambil kira aspek dunia dan ukhrawi dan juga hak mendapatkan pendidikan tanpa mengira kelas sosial supaya kita tidak mengabaikan setiap unit modal insan yang hakikatnya mampu memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat, negara dan agama. Sebagai seorang guru pelatih, cerita ini sangat menyentuh perasaan. Besar mesej yang disampaikan jika dibandingkan dengan filem SAM, Hanya Tiga Hari, Ombak Rindu dan sebagainya.


Hidayah Bani
Nottingham




No comments: