Monday, 12 November 2012

catatan

Lama, lama sangat rasanya tak menulis di laman ini. Kalau waktu cuti dulu, habis je satu buku terus rasa nak update kat blog. Tapi sekarang, untuk fokus baca sebuah buku dalam satu masa, agak susah. Mungkin sahaja saya sendiri yang masih lagi bertatih mengurus masa.

Saya masih ingat lagi, perbualan dengan kawan-kawan satu masa dahulu, mungkin sahaja 5, 6 bulan yang lepas. Bila sahaja orang kata PGCE Nottingham sibuk, saya tidak mengiyakan, tetapi saya hanya berkata, "bukan sibuk, tapi kena pandai urus masa." Manakan tidak, ada pihak yang membanding-bandingkan antara PGCE di London dan di Nottingham. Pada waktu tersebut, belum rasa lagi apa yang dimaksudkan, jadi untuk mengiyakan macam kurang selesa sebab belum mengalaminya.

Lebih sebulan menjadi pelajar di UoN. Benarlah, bukan sibuk sangat PGCE di sini, cuma perlu pandai urus masa. Kadangkala kerjanya tidaklah banyak mana, tapi bila deadline hampir tiba, baru rasa.. eh! Mana masa aku yang lepas? Maka, terungkaplah perkataan 'sibuk' dari bibir masing-masing. Saya juga mengalaminya, tapi cuba untuk mengambil ibrah dari peristiwa yang lepas dan semoga tidak akan mengulangi pembaziran masa di masa akan datang.

Catatan kisah peribadi bukanlah pilihan pertama saya jika ingin mencoret di laman ini. Namun, kisah PGCE ini hanya timbul dari perasaan ingin berkongsi, bukan menghebah mengatakan sayalah manusia paling bizi.

Tiga tahun belajar sains tulen, namun bila tiba setahun belajar sains sosial ianya bagaikan satu kejutan. Tapi jauh di dasar hati, saya seronok belajar. Namun ada juga kelemaha-kelemahan yang ada dalam diri yang mungkin juga boleh menjadikan rasa seronok itu hilang. Iyalah, saya juga manusia biasa, kadangkala bukan kenal kehendak diri ingin macamana. Apa yang saya perasan tentang diri saya, dari kecil saya bebas membuat keputusan, apabila keputusan itu dirasa tidak tepat, mulalah saya rasa peribahasa 'sudah terhantuk baru terngadah' sesuai dengan keadaan diri. Terhantuk inilah yang banyak membuatkan diri saya belajar. Namun saya tak nak lah terlalu kerap terhantuk kerana ianya boleh memudaratkan diri, biarlah terhantuk ini membuatkan saya lebih berjaga-jaga agar tidak terhantuk lagi.

Catatan pendek, dicoret ketika menunggu. Masa menunggu juga sangat berharga. Tapi kadangkala terlalai juga, boleh jadi masa menunggu itu digunakan untuk facebook dan twitter ataupun online shopping. Sedar-sedar, bila masa menunggu sudah tamat, baru rasa, eh..apa yang aku dah buat sejam tadi? macam tak dapat apa pun .

Catatan pendek. Buat simpanan untuk dibaca apabila diri melangkah semakin dewasa. Apabila lihat kembali catatan di masa silam, senyuman mengiringi setiap patah kata-kata yang dibaca. Kadangkala tepuk dahi..wah, macamni ke aku dua tahun yang lepas. Apapun selagi catatan itu tidak memalukan diri, ianya masih bermakna untuk dirai. Jika terlalu peribadi, cukuplah kalau saya sendiri simpan dalam memori.

Catatan pendek, buat kenangan.


Hidayah Bani
Nottingham

No comments: