Tuesday, 19 February 2013

[reviu] From Beirut to Jerusalem

Tajuk: From Beirut to Jerusalem

Bil. Mukasurat : 302

Publisher : Grafton

Harga : Berbeza-beza (Link Amazon)

Rating : 4.5/5









Lama rasanya saya tidak menulis, hampir dua bulan. Dua bulan, dalam masa itu ada juga ketikanya saya menjengah laman ini. Entri sebelumnya adalah mengenai cerita Di bawah lindungan kaabah. saya kira saya sudah tiada minat untuk membuat reviu mengenai cerita tersebut. Jika anda berminat, anda boleh menonton ceritanya dan fikirlah secara kritikal mengenai cerita tersebut. Pandangan setiap orang berbeza-beza.

Saya mengambil masa hampir seminggu untuk menghabiskan buku ini. Buku yang saya kira hebat, buat saya berfikir, benarkah sebegini keadaannya? Seperti yang diceritakan oleh penulis iaitu seorang ortopedik yang menjadi sukarelawan di sana. Ang Swee Chai, wanita asia, tubuhnya kecil sahaja, seperti wanita asia tipikal. Namun semangatnya, besar.

Kucar-kacir di Timur Tengah

Beirut terletak di Lubnan, manakala Jerusalem terletak di Palestin. 'From Beirut to Jerusalem', kisahnya dari Beirut ke Jerusalem, latar belakangkan tahun 1980-an, dimana waktu itulah terjadi perang saudara di Lubnan, Serangan Israel Laknatullah terhadap kem Sabra dan Shatilla, kucar-kacir di negara jiran. Semuanya masih ada, masih ada hingga kini. Rentetannya masih merah, segar lagi. Walaupun cerita ini adalah 30 tahun yang lalu, bekasnya masih lagi berdarah, merah. Belum lagi sembuh mahupun berparut!

Saya mengambil langkah yang selamat dalam mereviu cerita ini, tidak ingin bercerita panjang. Apa yang paling penting adalah nilai kemanusiaan. Cerita ini adalah kisah benar, yang membuatkan saya teringat-ingat hingga kadangkala boleh termimpi akan keadaan mereka di sana. Cerita ini adalah salah satu cerita yang membuatkan saya sedih, geram dengan ketidakadilan yang berlaku di muka bumi ini.

Adakah sekadar sebuah buku cerita?

Salah satu mukasurat yang saya rasa paling menyentuh hati saya sebagai seorang manusia,  iaitu  apabila mereka dibenarkan untuk memakan bangkai/mayat manusia. Keadaan di kem pada ketika itu sangat kritikal. Amat.
Tidak, ianya adalah sebuah rentetan. Buku ini tidak sesuai dibaca oleh pembaca yang ingin sentiasa tersenyum sepanjang jalan cerita, mengidamkan pengakhiran cerita yang seronok, tidak...cerita ini tidak menjanjikan semua itu. Cerita ini menjanjikan sebuah realiti masa kini, bukan lagi menjanjikan seekor katak yang hodoh apabila dicium tuan puteri bertukan menjadi seorang putera yang kacak. Tiada langsung. Buku yang memaksa anda berfikir, memaksa anda menerima realiti. Aduh, realiti yang menyakitkan, terutamanya jika anda seorang manusia yang masih berhati perut. Sekiranya anda masih manusia, itu yang pertama, tanpa mengenal apakah bangsa dan agama anda. Cukuplah syarat anda seorang manusia untuk cuba menghayati cerita ini.


Percayalah, ia bukan dongengan kisah dari kayangan.








No comments: