Wednesday, 12 September 2012

[reviu] Memoir Seorang Guru

Judul :Memoir Seorang Guru

Penulis: Azizi Abdullah

Penerbit: Alaf 21

Harga: RM13

Bil. Mukasurat: 299





Azizi haji Abdullah. Satu nama yang tidak asing satu masa dahulu dan kini semakin luput namanya untuk dijadikan buah mulut generasi muda kini. Kunjungan saya ke kedai buku semasa cuti telah menggerakkan hati saya untuk membaca karya allahyarham Ustadz Azizi Abdullah. Akhirnya, saya mencapai karyanya yang bertajuk Memoir Seorang Guru.

Novel ini mengisahkan tentang seorang bapa yang sangat-sangat bersungguh menghalang anaknya daripada menceburi profesyen perguruan. pelik! Itulah reaksia anaknya, mengapa bapa tegar menghalang niat sucinya, ingin menjadi seorang guru. Akhirnya, tiada apa yang mampu di ungkapkan dengan kata-kata, hanyalah 'bapa tidak suka kamu menjadi guru'. Namun, hati tua si bapa, siapa yang tahu. Hanyalah memori sebagai seorang guru Pendidikan Islam menceritakan segalanya. memoir-memoir inilah yang telah membangkitkan rasa, menjadi tulang belakang kepada mesej novel ini. Memoir yang penuh seribu makna, benci, dendam, perasaan penuh bersalah dan dikejar bayang-bayang dosa. Alangkah tiada berkatnya profesyen guru padaku..inilah yang hanya mampu terluah lagi oleh seorang bapa.

Novel ini pendek, namun mesejnya sarat. Ringkas, namun bisa membuatkan pembaca muhasabah panjang. Menarik nafas...berfikir sejenak. Diri saya sendiri, sebagai seorang bakal guru. Apabila membaca novel ini, saya tidak tahu hendak letakkan diri di mana. Adakah saya ingin meletakkan diri sebagai murid yang dibenci ataupun menjadi tenaga pengajar yang penuh dengan kebencian.

'Takah Murabbi'...sering di ulang-ulang dalam novel ini. Si bapa terasa menyesal kerana sepanjang profesyennya sebagai guru, takah murabbi itu sangat jauh untuk dicapai. Saya juga bungkam apabila terbaca patah-patah perkataan ini...apakah guru ini hanyalah profesyen yang cukup bulan makan gaji ataupun menjadi murabbi kepada anak-anak harapan.

Walaupun setelah dua minggu berlalu, namun ada beberapa perkara yang sering bermain di fikiran saya. Pertamanya adalah mengenai menjadi 'guru' ataupun 'murabbi'. kedua adalah mengenai keberkatan dan ketiga adalah adakah saya mampu menyemai perasaan sayang kepada murid-murid ataupun perasaan sebaliknya, iaitu benci. Satu perasaan yang memang dibenci.

Saya menghela nafas lega apabila dapat menamatkan novel ini. Lenggok bahasanya, jalan ceritanya..mampu membuatkan saya sebak, benci, dan juga berfikir, 'benarkah ini perasaan seorang guru?'. Apapun, saya masih lagi belum berada di dunia realiti profesyen perguruan. Masa terus berlalu, mungkin sahaja sikap murid-murid yang diceritakan di dalam memoir ini adalah sikap murid-murid di zaman 60-an, 70-an dan juga 80-an. Masa berlalu, ragam semakin berubah, dunia semakin mencabar, kadangkala belajar hanya untuk pandai, budi langsung tidak tersemai. . Inilah yang saya dapat perhatikan kini, rencah kepada dunia perguruan. Namun, inilah realiti, gosoklah mata beberapa kali, dan teruskan menyusun langkah kaki.

Harga buku ini adalah RM13. Sangat berbaloi. Boleh didapati di kedai-kedai buku berhampiran ataupun boleh juga dibeli secara online. Bacalah! Satu bahan bacaan yang membuatkan kita memuhasabah diri, tidak kira sama ada anda bakal guru ataupun tidak, sekurang-kurangnya anda pernah menjadi anak murid kepada seorang guru.

No comments: