Monday, 13 August 2012

[reviu] Doktor Umum

Tajuk: Doktor Umum

Penulis : Tun Dr. Mahathir Mohamad

Bil. ms: 982

Harga: MYR 59.00










Assalamualaikum dan Salam Ramadhan.

Alhamdulillah, saya selamat menghabiskan buku ini dalam masa tiga minggu. Mungkin pada anda yang ulat buku merasakan waktu ini agak lama. Namun, 3 minggu inilah yang saya termampu untuk membacanya. Kadangkala ada hari yang saya tidak membaca langsung, ada hari yang saya mampu menelaah berbab-bab, umpama membaca novel. Namun, di bulan Ramadhan ini, di samping menggunakan masa dengan membaca, perlulah juga kita bersama-sama lebih menggunakan masa untuk membaca dan menghayati kitab suci Al-Quran.

Mengapa saya memilih buku ini?

Saya sudah bercita-cita untuk membaca memoir Tun. Mahathir sejak tahun lepas lagi(2011), ketika pelancaran buku ini versi bahasa inggeris. Saya masih ingat lagi ketika saya di kedai buku, hampir mencapai buku ini (versi bahasa inggeris), namun pantas pekedai tersebut mengatakan  buku ini akan dicetak dalam versi bahasa melayu. Lalu, saya pun meletakkannya semula.

Secara jujurnya, saya ingin sangat membaca buku ini adalah untuk mengetahui dengan mendalam pemikiran, idea, latar belakang, susur galur politik dan pengurusan kehidupan peribadi beliau sebagai orang yang paling lama menyandang jawatan sebagai perdana menteri Malaysia seterusnya mengenal sendiri negara Malaysia.

Saya masih ingat lagi bagaimana cabaran yang dihadapi oleh beliau, beliau digelar firaun, maha zalim dan paling popular diktator, apatah lagi apabila terdengar rancak perbualan mengenai krisis beliau dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pelbagai lagi label yang dikeluarkan untuk mengecop beliau. Mungkin kerana lamanya beliau di tampuk pemerintahan, maka pengalaman beliau umpama mutiara bagi sesetengah pihak dan sebaliknya bagi pihak yang lain. Sebagai generasi muda, amat rugi sekiranya kita tidak mahu mengutip pengalaman yang beliau sendiri lakarkan tidak kira kita di pihak yang mana. Sebelum ini, apa yang saya baca, dengar mengenai beliau kebanyakannya dari akhbar dan juga khabar-khabar sekeliling. Keluar sahaja memoir ini, ianya umpama satu pencerahan buat saya kerana beliau sendiri menceritakan apa yang berlaku sepanjang perkhidmatannya sebagai doktor dan juga ahli politik di Malaysia.

Bacalah dalam konteks ilmu

Bacalah buku ini dalam konteks ilmu, sekiranya anda ada pemikiran anda. Anda berpegang sahajalah. Namun apa yang saya dapat melalui buki ini sangat banyak. Apa pun, anda sendiri menilainya saat anda membaca buku ini, apa yang anda ingin dapat melalui buku ini.

Apa yang menarik

Secara peribadinya, banyak bab yang menarik. Antara bab yang menjadi kegemaran saya adalah kisah beliau semasa zaman peperangan, bagaimana beliau mensustain kehidupan dan pemikirannya yang pro-barat pada waktu tersebut. Bab tentang krisis ekonomi Malaysia, tentang undang-undang dan juga tentang Tun Daim. Sejak kecil lagi saya sudah mendengar akan kehebatan Tun Daim dan pada waktu tersebut saya telah memasang cita-cita ingin menjadi seorang ahli ekonomi. Namun, masa telah berlalu dan kini apabila membaca apa yang Dr. M coretkan megenai Tun Daim saya semakin kagum dengan beliau. Bab mengenai krisis beliau dengan timbalannya sudah tentu antara perkara yang saya ingin tahu.

Saya tersenyum apabila beliau bercerita mengenai cita-cita beliau ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam jurusan undang-undang. Antara sebab beliau memasang cita-cita tersebut adalah kerana beliau suka melihat perbahasan/perdebatan. Saya juga pernah mempunyai perasaan yang sama mungkin. Kebanyakan cita-cita saya sewaktu zaman persekolahan adalah  berpaksikan sains sosial. Namun Allah lebih tahu dan kini saya adalah graduan sains tulen. Masa berlalu, minat kita pada sesebuah bidang tidak akan hanya tersekat dengan jurusan yang di ambil ketika di universiti , dimana ada kemahuan disitu ada jalan, saya kerapkali berkata kepada diri saya sendiri agar tidak berputus asa dalam bidang sains tulen dan pada masa yang sama menjauhi bidang sains sosial. Jangan menjumudkan diri pada satu dimensi sahaja.

Buku yang tebalnya hampir 1000 mukasurat ini pada saya sarat dengan kisah suka dan duka. Sudah menjadi kebiasaan saya untuk lebih tersentuh ketika membaca buku puisi dan juga buku sejarah. Namun bukan novel cinta. Kadangkala saya baca juga novel cinta kerana buku tersebut menghiasi rak buku di dalam bilik, namun saya tahu yang cerita di dalam novel tersebut adalah bohong dan terlalu ideal. Tetapi, sejarah adalah perkara benar yang telah berlaku dan pengalaman seseorang yang amat berharga. Ianya mungkin tidak ideal, namun pernah berlaku. Pragmatik.

Pendapat peribadi yang lain?

Ketika saya membaca buku ini, terlintas juga di fikiran saya untuk membaca memoir pemimpin-pemimpin Malaysia yang lain dan saya rasa buku ini adalah salah satu buku yang paling menarik pernah saya baca. Mungkin kerana apabila meyelak, menelaah buku ini..saya terus membayangkan negara kita Malaysia dan ternyata buku ini bagaikan isi dengan kuku apabila dikaitkan dengan pembangunan Malaysia.
Apapun, ternyata beliau disegani dalam dan luar negara. Ketika saya berada di luar negara, sekiranya saya memberitahu yang saya berasal dari Malaysia, kebanyakan mereka hanya akan mengenal Dr. M. Pada waktu itu, saya terfikir juga, mngapa mereka (kebanyakannya adalah penduduk Britain yang berasal dari Bangladesh, Pakistan, Arab, Palestin dan negara timur tengah) begitu menyanjung Dr. M dan apabila saya sebut pemimpin lain, mereka tidak kenal. Akhirnya buku ini memberi jawapan kepada persoalan tersebut.


Akhir kata, jika anda berminat, silalah jangan segan silu membaca memoir ini. Mungkin saya agak terlambat dalam me'reviu' buku ini kerana ianya sudah berada di pasaran setahun yang lepas.



Hidayah








Monday, 6 August 2012

Visualisation

Visualisation amat penting bagi mereka yang mempunyai visi dan misi yang jelas akan matlamatnya. Dimana dia akan berada 5 tahun, 10 tahun akan datang. Apakah yang perlu dilakukan dari sekarang untuk merealisasikan visual yang telah dibayangkan.

Forward visualisation penting untuk cita-cita, backward visualisation iaitu yang telah berlaku, amat penting untuk dijadikan muhasabah. Apapun, melalui pengalaman sendiri, saya kerap memberitahu ibu saya yang saya masih boleh membayangkan apa yang berlaku pada saya ketika usia saya belum pun sampai 3 tahun! Saya masih ingat yang saya pernah terlibat dalam satu kemalangan kecil. Walaupun kecil, nampaknya visual tersebut penting untuk saya ingat hingga kini. Saya juga masih ingat waktu bagaimana saya menunggu dihalaman rumah, mundar-mandir menunggu ketibaan ibu saya bersama adik baru. Waktu itu umur saya masih belum 3 tahun. Namun, mungkin peristiwa dapat adik baru amat bermakna buat saya. Sebab itulah saya mampu ingat hingga kini.

Semakin usia kita berjalan merentasi ruang masa, semakin pelbagailah backward visualisation kita. Ada yang sedih, gembira, tiada perasaan , cemas dan juga yang penuh dengan provokasi! Kadangkala, dari backward visualisation inilah kita semakin takut untuk merangka forward visualisation dan mampu sahaja kita menjadi lebih teruja untuk merangka forward visualisation.

Apapun, setiap dari kita mempunyai forward visualisation masing-masing dan visualisation ini hanya akan teralisasi dengan izin Allah. Sebagai manusia, gambaran, angan-angan mampu membawa kita hanyut ke satu alam ciptaan sendiri yang memberikan kita hak seolah-olah kita akan hidup selama-lamanya. Itulah sebabnya, setiap kali kita mevisualkan cita-cita kita, perlunya kita sentiasa ingat kepada Allah, penentu apa yang kita impikan.

Backward visualisation pula biarlah ia menjadi kunci untuk kita menghisab diri dan kembali kepadanya, bukannya sebagai kunci untuk kita berasa bongkak dengan apa yang telah dicapai ataupun terlalu sedih dengan apa yang telah berlaku.

Wallahualam.

ps: Perkataan forward visualisation dan backward visualisation adalah ciptaan sendiri penulis menurut definisi beliau sendiri. Jika anda google, anda tidak menjumpai definisi seperti yang dimaksudkan. heh.

Bumi Malaysia
1026 pagi.



Monday, 30 July 2012

Ditipu

Ada dua golongan yang sering tertipu dengan kematian.

1) Golongan muda kerana menyangka yang akan mati dahulu adalah golongan tua.

2) Golongan sihat kerana menyangka yang akan mati dahulu adalah golongan yang sakit.

Namun, di mana-mana dahaja berlaku kematian. Umur sehari boleh meninggal, umur dua hari pun boleh meninggal. Setiap saat ada sahaja manusia yang meninggalkan dunia ini. Ini menunjukkan umur sebagai indikator waktu kematian tidaklah begitu releven, tetapi kita sang manusia tetap mahu meyakinkan diri sendiri bahawa kita masih ada pada keesokan harinya. Abang saya meninggal dahulu sebelum ayah saya, walhal abang saya lebih muda dan sihat berbanding ayah saya. Satu contoh paling dekat dengan diri sendiri.

Sihat. Ini satu lagi sebab mengapa kita begitu yakin. Namun asbab kematian itu banyak, dan malang itu tidak berbau. Berapa ramai yang sihat, namun meninggal akibat kemalangan.

Hakikatnya, kita yakin dan pasti bahawa kita akan mati. Kita tidaklah berapa takut akan kematian, namun apa yang lebih menakutkan kita adalah dimanakah kita selepas kematian. Selepas kematian, kita hanya ada dua pilihan iaitu syurga atau neraka. Selepas mati, kita sudah tidak mampu membuat pilihan kerana pilihan hanya dapat dibuat sebelum kita melangkah ke alam barzakh.


Wallahualam. Tazkirah untuk kita semua.



Friday, 20 July 2012

Persoalan Antara 2 Ramadhan

Salam wrm
Lama rasanya tak update blog..
Dari bajet bz, hinggalah secara jujurnya dah hilang minat untuk menulis kat blog.
Apapun, teringat jugak macamana perasaan aku waktu nak berblog.
teruja!.
beria aku cari layout, font yang best.
Walaupun isi dia tak la sebest mana.
Aku rasa aku tulis random je la..
Sebenarnya aku banyak nak tulis pasal reviu buku,
Last-last semua tu jadi draftss!
antara buku yang aku sempat baca adalah buku-buku Tariq Ramadhan.
Dan jugak sempat g lecture dr. Azzam tamimi.

Ok, berbalik pada tajuk...
Alhamdulillah, Allah masih temukan kita dengan ramadhan yang terakhir.
Ramadhan ini memanglah yang terakhir kerana sekiranya kita masih hidup pada Ramadhan seterusnya, ianya tetap tidak sama dengan Ramadhan pada tahun ini...

Apa yang telah berlaku antara 2 ramadhan?
Kadangkala mengukir senyuman, ada kalanya bisa mengalirkan air mata
Setahun yang berlalu..
Terlalu banyak perkara yang berlaku
Yang boleh sahaja mengubah cara pandang dan fikir seseorang!
Yang bisa sahaja mengubah personaliti dan keterampilan seseorang!
Bisa sahaja mengubah dunia
Mengubah segalanya
dan semuanya berlaku atas izinNya!

Apa harapan kita untuk Ramadhan tahun ini?
Selitkan niat, ikhlas dan benarkan perbuatan...

Semoga Ramadhan ini menjadi medan transformasi diri
bukan hanya diterima sebagai adat dan bulan yang dirai.

Salam ramadhan semua!:)



Tuesday, 5 June 2012

Transparency and discrepancy, there is still a long way to go. 

Flowers(2)

Selly Oak, around Hubert Road.





Flowers


Dovedale, Peak District, Derbyshire

Lets nature speaks itself.