Showing posts with label kenangan silam. Show all posts
Showing posts with label kenangan silam. Show all posts

Wednesday, 10 April 2013

[Travelog] Kembara Lubnan_4

30 Mac 2013

Hari keempat saya disini. Pagi ini, saya bangun agak dihujung subuh, 5:30 pagi..ah..bagi mereka yang tinggal di Malaysia, waktu inilah azan berkumandang, namun disini..waktu ini sudah subuh gajah!

Awal dua jam dari waktu UK membuatkan saya pening kepala juga, kadang-kadang bila tengok jam, ahh..awal lagi, aduh..rupa-rupanya, saya lihat jam UK. 

Hari ini, kata akh Yusuf adalah hari yang agak padat. Akh Yusuf berpesan kepada ahli delegasi supaya memakai pakaian yang agak kemas dan formal kerana pada hari ini kami akan melawat beberapa buah institusi yang mengambil berat akan kebajikan rakyat Palestin samaada mereka di dalam Palestin mahupun di luar Palestin.

Awal pagi, sekitar jam 9 pagi, institut pertama yang kami lawati ialah Al-Ghawth Orphanage Centre. Kami disambut dengan dengan wajah yang berseri-seri oleh pihak Al-Ghawth. Pada awalnya, bro Tarek tiada bersama kami, tetapi ucapan dan penerangan diberi dalam bahasa arab. Mujurlah ada Akh Ahmed menjadi penterjemah terjun kami. Kalau tidak, pening kepala jugalah. 

Antara penerangan yang diberikan adalah mengenai bagaimana mereka memanfaatkan bantuan yang diberikan. Kemudian, kami disajikan dengan video mengenai penderitaan rakyat Palestin di kem-kem perlindungan di Lubnan. Mereka didiskriminasi, mereka seakan-akan tiada hak seperti yang lain. Mereka tidak dibenarkan untuk memperluaskan kawansan kem secara horizontal, makanya untuk menampung pertambahan yang ada, mereka terpaksa meninggikan rumah mereka, bina rumah mereka secara bertingkat-tingkat (vertical). Untuk membina lagi rumah dikawasan kem, merek tidak dibenarkan membawa bahan-bahan binaan, kecuali yang dibekalkan oleh UNRWA . Selain itu juga, disebabkan kadar penganguran yang tinggi, ianya pasti akan berkait dengan kadar kemiskinan yang tinggi. Ini menyebabkan anak-anak mereka tidak mampu mendapatkan pendidikan. Mereka sendiri juga tidak mampu untuk menampung kos-kos perubatan. Sekiranya ada yang belajar hingga ke universiti... mereka tetap tidak boleh berkerja. 

You can give them aid, but no development. Nampak tak?

Semasa sessi soal jawab, saya sempat bertanya soalan;

Mengapa mereka didiskriminasi dan tidak dibenarkan untuk menjalankan pembangunan dari segi mental dan fizikal?

Jawapannya adalah kerana, mereka khuatir dengan perubahan demografik. Lubnan adalah sebuah negara yang mempunyai pelbagai sect (sunni, syiah, christian), jadinya, untuk menjaga kemandirian mereka sendiri dari segi bilangan dan taburan (rakyat Lubnan), mereka perlulah menyekat pembangunan rakyat Palestin di negara mereka. Ya, inilah Apertheid diantara rakyat Palestin dan Lubnan.

Al-Ghawth pula membantu mereka dari segi kewangan, membesarkan anak yatim, memberikan kerja kepada mereka (kerja dari rumah seperti membuat kraft tangan, mengedit gambar). Selain dari bantuan material, mereka juga memberi bantuan dari segi psikologi , contohnya apabila anak kematian ibu atau bapa  dan juga isteri yang kehilangan suami, Al-Ghawth akan cuba memberi sokongan emosi (seperti sessi kuliah agama untuk mereka merasa lebih redha, sessi kaunseling) kepada mereka. Ya, golongan wanita dan kanak-kanak. 

Ada juga yang bertanya tentang pendidikan tinggi mereka, tidak silap saya akh Musaini.

Jawapannya: ianya sangat bergantung kepada kewangan mereka sendiri, yuran untuk setahun selalunya sekitar 11 000 USD, lebih kurang 33 000 MYR. Rasa seperti memang (rakyat Palestin) disekat untuk belajar. Apabila mereka sambung belajar pun, mereka tetap tidak boleh bekerja. Pilihan yang ada, sama ada berhenti belajar ataupun masuk ke institut kemahiran.

Sekitar jam 10, kami ke Takaful for Child Welfare, di institut ini, kami menyerahkan dana yang telah dikutip di UK untuk menaja anak-anak yatim di Gaza. Alhamdulillah, tahun ini  berdasarkan kutipan, seramai 25 anak yatim berjaya ditaja. Semoga Allah merahmati kalian. 

Jam 12 tengahari, kami ke Palestinian Association of Human Right (Witness). Disini kami disambut oleh Dr.Mahmoud(Abu Ammar) dan Encik Mohammad(Abu Hisham). Institut ini akan membawa kami ke kem Burj al-Barajneh. Kem yang terbesar di Beirut, memuatkan kira-kira 20k penduduk(+1500 Syirian). Luasnya, tidaklah besar mana. Sebesar itulah sewaktu ia mula-mula dibina, luas itulah juga kawasannya sekarang, ya..keluasan kawasan ini adalah 1 kilometer persegi. Sebenarnya, saya rasa saya salah fakta. Mungkin saya salah catat. Lalu, semasa menulis entri ini..saya sempat membuka laman web ini..(UNRWA -Burj Al Barajneh Refugee Camp). Maka, terpaksalah saya percaya.

Dr.Mahmoud atau dikenali sebagai Abu Ammar adalah salah seorang rakyat Palestin yang berjaya. Beliau berasal dari Haifa, Palestin. Beliau berkata, rakyat Palestin di sini terpaksa tinggal di kem kerana tiada tempat lain yang lebih baik untuk mereka tinggal selain di tanah barakah Palestin, beliau menyambung.. berdasarkan perang Al-Furqan (yang berlaku sewaktu Desember 08-Januari 09, atau dikenali oleh media sebagai Operation Cast Lead), mereka (rakyat Palestin ) percaya kemenagan semakin menghampiri dan Israel semakin menghampiri kekalahan. Apa yang saya lihat, kebanyakan rakyat Palestin mempunyai fikiran yang positif, yakin bahawa satu hari nanti mereka akan pulang ketanah air mereka sendiri. Mereka tetap akan berjuang walaupun mereka tidak tinggal di dalam Palestin itu sendiri.

Sekitar jam 1:30 tengahari, kami menuju ke kem Burj Al Barajneh, kem ini terletak di selatan Beirut berdekatan dengan Lapangan Terbang Rafik Hariri. Sepanjang perjalanan, saya sempat melihat kereta kebal turut sama dengan kami dijalan raya, peminta sedekah jalanan. Satu fenomena yang agak asing dan mungkin ini kali pertama saya lihat dengan mata sendiri.

Sebelum kami masuk ke kawasan kem, kami melawat rumah anak yatim yang dibina oleh Al-Ghawth. Kemudian, barulah kami memulakan perjalanan untuk melihat sendiri bagaimana keadaan kem. "Better you see with your eyes rather than talking", kata encik Mohammad. 

" Welcome to the place that you can see they are suffering", kata encik Mohammad sewaktu kami menjejakkan kaki memasuki kawasan kem. Ah..kawasan ini sempit dan laluannya juga memeningkan walaupun keluasannya tidaklah besar mana. Di kem ini, terngiang-ngiang kata ketua delegasi bahawa mereka ini tidak berapa suka orang luar, jika hanya datang sekadar mahu mengambil gambar mereka, melihat-lihat dan kemudiannya pulang. Ya juga, secara psikologinya, sekiranya orang luar berbuat begitu..kawasan mereka ini tidak ubah umpama tempat lawatan pula. Jadinya, saya tidakla berminat untuk menangkap banyak gambar. Cukuplah beberapa gambar kenang-kenangan. 

Bangunan rumah anak yatim oleh Al-Ghawth Orphanage Centre
Keadaan sekitar Kem Burj al Barajneh

Kesan-kesan perang saudara

Lorong-lorong yang sempit


Ayat pertama surah Israa.
Wayar-wayar yang berselirat

Yasser Arafat



Mereka memberi sokongan yang agak hebat kepada PLO

Kem ini rosak teruk sewaktu perang saudara yang berlaku sekitar 1985-1987. Saya ada juga baca sedikit mengenai kem ini dalam buku From Beirut to Jerusalem, namun di dalam buku tersebut kem Sabra dan Shatilla lebih banyak disebut. Saya agak kecewa juga kerana tidak sempat ke kem Shatilla. Boleh sahaja lihat kesan kerosakan yang ada kerana mereka tidak boleh membuat renovation.

Sewaktu jalan-jalan melihat keadaan kem, apa yang saya boleh gambarkan adalah kawasan ini agak sempit, sistem perpaipan tidak tersusun, sistem kumbahan masih ok kerana tidaklah pula saya menghidu bau yang tidak menyenangkan. Jika kanak-kanak disini ingin berteduh dibawah sepohon pokok yang rendang, saya kira itu hanyalah mimpi kerana tempat untuk menanam pokok pun kurang. Paip air yang tidak tersusun menyebabkan ada air yang mengalir di lorong jalan kaki yang ada. Ah...mungkin treshold saya ni agak rendah, maka ketika berjalan..saya mengangkat sedikit kaki seluar saya..risau sungguh jika terkena air ini. Saya akui, jika mereka lihat, tentu mereka rasa..orang luar ni, dengan benda tu pun nak geli-geli. Ingin saya meminta maaf kepada mereka..maaf, mungkin saya masih belum mempunyai kekuatan jiwa yang tinggi. 
inilah bangunan yang dikatakan tidak kukuh, Goyang sahaja boleh roboh. Tiada ceracak

Mereka menamakan kedai, hospital dengan nama-nama tempat di Palestin kerana kerinduan mereka pada Palestin

Ambulan dihadapan Hospital Haifa

Bahaya ni, bila-bila boleh jatuh

Maaf sahabat, kuatlah..kita sedang diuji..

Jalan dan jalan lagi, saya terjumpa Haifa Hospital. Ahhhh..inilah hospital yang ada dalam buku FBTJ tu juga..saya lihat-lihat sedikit bahagian dalamnya. Kemudian, kami ke kawasan pekan mereka, agak kecil..namun disinilah mereka menjual sayur-sayuran dan makanan yang lain. Masuk ke kawasan kem, seolah-olah masuk ke kawasan yang asing dari dunia, jauh dari pembangunan, infrastruktur yang tidak kukuh. Kata En. Mohammad, rumah mereka yang tinggi-tinggi ni, goncang pakai tangan pun boleh runtuh. Rumah mereka  tidak dibina dengan betul, tiada ceracak pun, yang ada hanyalah ikatan batu bata. 

Sambil kami melawat kawasan kem, kami juga memberikan gula-gula yang dibawa dari UK. Pada mulanya, kami terpaksa memujuk mereka untuk mengambil gula-gula yang kami berikan, mungkin sikap mereka yang tidak meminta-minta. Namun, kemudian,,barulah mereka menerima pemberian dari kami. 

Selesai kami melawat kem ini, kami pulang ke Witness. Disini, kami disajikan dengan makanan tradisional Palestin. Kami diberitahu, makanan ini mengambil masa tiga hari untuk disediakan. Tiga hari? Ini sudah cukup menimbulkan persoalan dalam kepala saya... apalah sangat yang dibuat sampai tiga hari...
Mughrabiyyah


Sewaktu makan, saya bersembang-sembang dengan yang lain, apa agaknya yang disediakan hingga tiga hari? leceh sungguh..alangkan dodol pun satu malam sahaja. Akhirnya Ukht Ilham Ainaa pun bertanya kepada Abu Ammar, agaknya..apalah yang disediakan hingga tiga hari. 

Rupa-rupanya yang bulat-bulat itu yang disediakan selama tiga hari, mereka menggentel menggunakan jari. Terkejut saya. Apapun, terbaiklah makanan yang dinamakan Mughribiyyah ini (Maaf, ejaan tidak pasti betul atau tidak). Makanan ini dimakan sekali dengan ulam-ulaman dan buah-buahan.


Yang bulat-bulat tu gentel pakai jari. Hebat..hebat.

Bersama ulam-ulaman

Malam tadi (makan malam di As-Saha), kami disajikan dengan kopi arab. Rasanya..amatlah pahit. Ramai diantara kami yang tidak mampu minum termasuklah saya. Namun saya, tidaklah sampai memuntahkannya balik..depan tuan rumah kot..jadinya, sepahit mana pun, ku telan jua. Katanya, kopi ini campuran biji kopi dan buah pelaga. 

Selesai kami makan makanan tradisional mereka, kami dihidangkan lagi dengan kopi arab. Kopi yang unik sangat-sangat pahit rasanya. Ada diantara kami yang menolak untuk minum. Tetapi saya menerima kopi tersebut..dalam hati, ingin mengabadikan rasa kopi yang paling dahsyat yang pernah saya rasa. Untuk lebih meng'ok'kan rasa kopi tersebut, saya masukkan gula kedalam kopi tersebut.

Kami pulang ke hotel sekitar jam 6 petang. Memandangkan esok seharian kami akan berada dil luar, akh Yusuf menahsihati kami supaya tidur secukupnya. Ya, esok..kami akan ke sempadan Lubnan-Palestin. 

Bumi Syams...Semoga kamu bebas dari belenggu anasir-anasir jahat. Kemenangan itu dekat!

10/04/13
1158
Nurul Hidayah Bani
Nottingham, UK














Friday, 5 April 2013

[Travelog] Kembara Lubnan_2


28 Mac 2013

Hari kedua saya berada di Lubnan. Cuaca disini agak menyenangkan sekali. Suhunya sekitar 17-18 C dan keadaan yang lembap membuatkan saya amat  selesa berada di negara beriklim mediterranean ini.

Pada pagi hari, kami  bersiap-siap untuk ke Al-Zaytouna Training Centre. Sebelum ke sana, kami bersarapan di hotel tersebut. Makanan yang disediakan, agak banyak dan nampak menyelerakan. Namun, apakan daya. Ianya mungkin tidak kena tekak saya. Makanan asasi mereka lebih kepada roti, keju dan daging. Saya, biasalah.. sudah mula rindukan nasi.

Keju-keju
Sayur-sayuran (salad) dan Labaneh Ball(saya tidak mampu makan ball ini sebab rasanya terlalu seperti susu lembu yang segar)


Selepas bersarapan, sekitar jam 8:30 pagi..bro Tarek menunggu kami di lobi hotel. Selepas semuanya bersiap, kami pun berangkat menggunakan van yang telah disediakan untuk ke destinsi yang hendak dituju. Hari kedua, siang hari.. umpama hari pertama saya melihat Beirut dalam keadaan terang. Semalam, saya sudah agak letih, jadi pagi ini saya agak teruja untuk menangkap gambar. Boleh tangkap sikit-sikit, cuma perlu berhati-hati.



Keadaan Beirut di awal pagi. Sewaktu saya dalam perjalanan ke Al Zaytouna Training Centre.
Secara ringkasnya, di Al-Zaytouna Training centre, dari jam 9am-4pm, kami akan mendengar tiga ceramah yang bertajuk ;
1)  Land of Palestine
Penerangan ringkas mengenai tanah Palestin dan Bilad as Shams (Jordan, Palestine, Lubnan dan Syria). Apa yang saya dapat dari ceramah ini adalah pengenalan mengapa tanah Palestin, apakah posisinya di dalam Islam. Mengapa ia adalah tanah suci umat Islam. Saya kira, memang patut tajuk ini adalah tajuk pertama ceramah kerana ianya adalah asas. Asas sebuah negara ialah Sempadan, penduduk tetap, kerajaan dan kedaulatan.

Tanah ini  juga amat berkait rapat dengan hadis baginda yang berbunyi;

Umamah al-Bahili reports that the Prophet ﷺ said, ‘’A group of my community will remain on truth, they will vanquish their enemy and those who disagree with them will not be able to harm them until Allah commands’’. ‘’Where are these people’’? The companions asked. The Prophet ﷺ replied, ‘’in and around al-Quds (Jerusalem).


Serta diterangkan dalam surah al-Isra mengenai kepentingan tanah ini. 




Kiranya, isu Palestin ini adalah isu yang holistik, disinilah terdapatnya isu aqeedah, isu perlanggaran undang-undang antarabangsa, isu kemanusiaan, penindasan dan sebagainya. 




Hakikatnya, pada saya ini adalah isu aqeedah, kita sebagai umat Islam perlu menitik beratkan isu ini sebagai isu yang holistik, bukan hanya kerana hak-hak kemanusiaan. 




2)  People of Palestine




Ringkasnya, ceramah ini menerangkan secara ringkas asal usul penduduk Palestin, dari mana mereka datang dan apakah nama keturunan mereka, Seperti yang kita pernah belajar, Jericho adalah tempat pertama adanya peradaban manusia yang agak teratur dan ini terbukti apabila Jericho letaknya di Palestin. Tempat bumi para anbia diutuskan untuk menyebarkan risalah Islam.




Mana mungkin, kita mampu memahami sesebuah isu tanpa memahami asal usul dan buadya masyarakat yang berada di negara tersebut. 




3)  Palestinian Army Struggle




Ceramah ini dipersembahkan dalam bentuk 'timeline' dimana bermula sejak tahun 1500 masihi apabila yahudi masih lagi diselubungi rasa bersalah akibat keingkaran & kejahatan mereka, diikuti peristiwa oloucast dan juga kebangkitan idologi Zionist dalam membentuk sebuah negara yahudi(zionist) di 'tanah yang dijanjikan'. Sebelum perjanjian Balfour, rakyat Palestin sudah mula sedar adanya yahudi di begara mereka. keadaan menjadi lebih teruk lagi apabila termeterainya perjanjian Balfour dan penghijrahan beramai-ramai kaun yahudi (kebanyakanny dari eropah) ke Palestin. tanah-tanah di Palestin juga telah dibeli dengan banyaknya oleh rejim zionis. Hal ini terjadi kerana petani-petani kecil di Palestin memilih untuk tidak mendaftar tanah mereka akibat tidak mampu menampung cukai tanah yang tinggi. Akhirnya, orang-orang kaya memonopoli dalam bab pendaftaran tanah dan mejual tanah tersebut kepada yahudi.




Mei 1948. pengisytiharan negara Haram Israel. Saya pendekkan cerita ini melalui video ini. Kiranya, ceramah ini cuba memahamkan audience bagaimana zionis cuba untuk menjajah Palestin sedikit demi sedikit sehingga akhirnya rakyat Palestine perlu melawan semula, dan sehingga kini kita masih lihat rakyat Palestin tetap setia melawan rejim Zionis.




Apabila ditanya, apakah penyelesaian kepada semua isu ini. Saya tidak bersetuju dengan penyelesaiannya adalah khalifah. Setakat satu perkataan 'khalifah'. Namun, sekiranya jawapan itu adalah satu sistem pemerintahan yang adil dan menerapkan nilai-nilai Islam sebagai ad-Deen, bukan sekadar ritual, itu adalah yang saya mahukan. Tidak kiralah apa namanya. Yang penting adalah nilai, cara, penerapan yang dilaksanakan. Bukan sekadar  nama.







Dari Al-Zaytouna Training Centre inilah saya melihat pemandangan sekitar Beirut, iaitu dari tingkat 12. Keadaan banguan-bangunan ini dalam keadaan sederhana dan terdpat kesan-kesan pembaikan. Mungkin juga ini kerana Lubnan adalah sebuah negara yang agak sengit dalam 'civil war' dan juga perang 'Arab-Israel'




Keadaan persekitaran dari tingkat 12.

Saya juga ada merakam video. Anda boleh lihat video tersebut di awal entri.




Petang harinya pula, sekitar jam lima petang, ketua delegasi kami iaitu Saudara Yusuf Johari membawa kami berjalan-jalan melihat pemandangan di sekitar persisiran laut mediterranean. Saudara Yusuf sudak hampir enam kali ke Lubnan dan maklumlah pula Lubnan ini lebih kecil dari Malaysia, jadinya beliau agak ingat jalan di sekitar Hamra ( dalam Beirut) untuk membawa kami melihat keadaan sekeliling.


Laut Mediterranean amat cantik, udara dan suhunya amat menyenangkan. Tidak seperti UK yang kadangkala suhunya amat sejuk mahupun Malaysia yang siangnya agak panas. Hari ini, saya umpama sudah biasa melihat askar-askar berkawal di sekitar Beirut dan juga di pesisiran pantai. Owh, saya tidak pernah ke Mesir, jadi saya tidak tahu bagaimana keadaan lebih banyak peminta sedekah . Ini kerana, di sini saya juga melihat beberapa peminta sedekah dan juga kanak-kanak yang cuba mendapatkan wang dengan menyediakan perkhidmatan mengilatkan kasut. Saya akui, hati saya agak sayu dan bersimpati melihat orang tua yang tidak berdaya meminta sedekah ditepi jalan. Sedangkan saya hanya mampu melihat. 



Itulah sebab saya lebih mempercayai kepada penerapan nilai, bukan sekadar nama. Sekiranya ada negara yang namanya Negara Islam, tetapi didalamnya kebajikan orang tua, wanita dan kanak-anak tidak terjaga; berlakunya banyak rasuah dan tipu daya; kadar jenayah dan penganiayaan yang tinggi, tiada maknalah harga sebuah nama tersebut. Namun, ini hanyalah 'reflection' saya, persoalannya kini..apakah tindakan yang akan saya lakukan. Semoga  tindakan ini bermula dengan diri sendiri dan bagaimana saya ingin mencari kefahaman memahami Islam secara holistik, berdasarkan nilai-nilai dan cara hidup. Memahami dan menanam aqidah Islam yang sebenar-benarnya. Insya Allah 


Rumah api dan juga kapal terbang yang berlepas. Beirut adalah sebuah ibu negara yang agak kecil



Salah seorang kanak-kanak penggilap kasut. Kawan saya ada bertanya, mereka dari mana. Katanya mereka  dari Syria.
Apapun, semoga Syria cepat sembuh daripada kekejaman yang berlaku disana.


Kucing di batu pesrsisiran Mediterranean

Batu yang unik dan menarik perhatian pelancong







Bersambung...




Nurul Hidayah Bani

Nottingham, UK

Thursday, 26 April 2012

Semoga Allah merahmati

Kedua ibu bapaku


Mak, abah. Anakmu ingin memohon maaf atas segala dan silap.

Sejak kecil anakmu sudah jauh meninggalkanmu

Namun, ya Allah aku memohon, tetapkan hatiku untuk sentiasa memanjatkan doaku untuk mereka

kedua ibu bapaku

Mak, abah.

Selamat pergi dan kembali.

Cinta mak dan abah  sangat unik

bukan seperti cinta sahabat

bukan seperti cinta kekasih

kerana cinta mereka sejak ku belum lahir lagi

melihat dunia.

sedangkan kasihku pada mereka

Apabila aku sudah berakal, mampu berfikir bahawa merekalah kedua ibu bapaku

Mak abah

Selamat pergi dan kembali

Doakan anakmu

yang sentiasa belajar mengasihimu keranaNya

Mak abah

Aku minta maaf.

coretan anakmu yang jauh dimata.
dekat di dalam doa.

Nurul Hidayah Bani

Thursday, 18 August 2011

Madinah Bumi Bercahaya -Part 3

Setelah diberi masa oleh Allah hampir sepuluh hari di Mekah, kini tibalah masanya kami bertolak ke Madinah. Jarak Mekah- Madinah adalah sekitar ~509++ km. Perjalanan ini memakan masa hampir 5 jam. Sepanjang perjalanan, saya memerhati keadaan geografi Mekah-Madinah. Panas, terik dan kering. Tiada bekalan air. Buminya berbatu-batu, penuh dengan debu. Kadangkala nampak juga beberapa ekor unta peliharaan. Pada saya, keadaan geografi ini agak mencabar. Keadaan yang berbatu, penuh debu membuatkan saya berfikir jauh, terkenangkan hijrah penduduk Islam Mekah suatu masa dahulu.
keadaan di tepi highway mekah-madinah
Madinah, saya sampai Madinah pada waktu malam. Madinah memang kota bercahaya. Kotanya terancang, cantik. Hati saya mengakui betapa tersusun dan hebatnya kota yang telah dipimpin oleh Rasulullah saw. Madinah berbeza dari Makkah secara geografi dan juga fizikalnya. Di Madinah, tumbuh-tumbuhan hidup subur, kurma berbuah dengan lebatnya. Di Mekah, kurang sedikit tumbuh-tumbuhan yang mampu hidup.



Hari pertama, kami dibawa melawat ke masjid-masjid. Antaranya adalah Masjid Quba dan juga Masjid Kiblatain. Masjid-masjid ini mempunyai kisah yang tersendiri. Masjid Quba merupakan masjid pertama yang dibina Rasulullah saw. Masjid ini mempunyai fadhilatnya tersendiri, menurut hadis nabi, pahala solat sunat dua rakaat disini bersamaan dengan pahala sekali umrah.
Masjid Quba, Masjid Quba merupakan masjid ke empat terbaik selepas masjid Al-Aqsa.

Masjid kiblatain pula, merupakan masjid yang mempunyai dua kiblat. Disinilah turunnya wahyu supaya umat Islam bertukar kiblat. (rujuk surah Al Baqarah:142-147)
Masjid dua kiblat. Baitul Maqdis dan Makkah. 180  degree arah  keduanya bertentangan

Selepas itu, kami juga dibawa ke medan Uhud. Medan inilah yang menyaksikan kekalahan umat Islam, keperitan yang dirasai oleh Rasulullah. Medan uhud tentunya punya kisah sendiri, medan yang menjadi saksi di mana umat Islam demotivated apabila mendapat khabar angin Rasulullah sudah wafat, medan yang menjadi saksi ketamakan manusia pada harta rampasan perang, medan yang menjadi saksi patahnya gigi geraham Rasulullah saw dan banyak lagi. Medan Uhud juga lah menjadi saksi 70  syuhada yang syahid.

kawasan berpagar: Kubur para syuhada
Bukit Uhud yang terletak di belakang kawasan perkuburan syuhada.
Jabal Rumat, bukit dimana pasukan pemanah Islam diletakkan. Rasulullah sudah berpesan, jangan tinggalkan bukit ini samaada menang atau kalah! Namun ketamakan atas harta rampasan perang menyebabkan mereka tinggalkan juga.
Akhirnya, Khalid bin Walid memimpin pasukan Quraisy Mekah mengambil alih bukit ini, maka bermulalah detik tragis peristiwa Uhud.
Melihat pada perkuburan para syuhada Uhud mengingatkan saya pada Saidina Hamzah, Mus'ab b Umair, Julaybi dan banyak lagi, selain itu juga pada Hanzalah. Hanzalah ialah seorang pejuang yang rela melepaskan pelukan sang isteri dan bersegera menyahut panggilan jihad. Ditakdirkan Allah, beliau syahid di medan uhud, lalu jenazah beliau dimandikan oleh para malaikat. Ketika jenazah Hanzalah dijumpai, jenazah tersebut dalam keadaan yang basah.

Kemudian, ustadz yang ditugaskan juga menceritakan akan hadis nabi mengenai bukit yang terbakar. Apabila bukit trbakar, maka itulah tanda kiamat semakin menghampiri. Bukit yang ditunjukkan oleh ustadz sudah terbakar 150 tahun yang lepas.
bukit terbakar. Ada nama bahasa arab dia, tapi dah lupa.

Kemudian, kami pun pergi ke ladang kurma. Disini kami membeli kurma nabi ataupun disebut kurma Ajwa.

keadaan tandan kurma di atas pokok, macam  pokok sawit, tapi tandan kurma lebih panjang berbanding sawit dan pelepah pokok ini tidak berduri.

Kebanyakan ladang kurma disini dimiliki oleh Bani Auf, keturunan sahabat jutawan iaitu Abdul Rahman b Auf. Di sini, ada satu pendapat yang popular iaitu,

"Madinah akhlaknya lebih baik berbanding orang Mekah, ini kerana kami sudi menerima Rasulullah namu orang Mekah mengusir Rasulullah."

Melalui kebersihan, pembangunan memang saya katakan Madinah lebih cantik dan indah.. Namun Mekah tetap ada auranya tersendiri iaitu aura rumah Allah~ Baitullah.

bersambung.....

Monday, 15 August 2011

Hari--hari yang sudah berlalu [Mekah]- Part2

Part 2 adalah tambahan dari part 1

Jarak dari hotel ke Masjid dapat diukur dengan masa, iaitu sekitar 15 minit berjalan kaki. 15 minit berjalan kaki di UK sewaktu spring atau summer mungkin tidak berapa mencabar berbanding 15 minit berjalan kaki dari hotel ke Masjid. Dengan debu yang berterbangan dan juga keadaan yang kering. semoga debu-debu ini menjadi saksi saya di akhirat kelak.
Perjalanan Masjid-hotel-masji yang berdebu hasil daripada projek pembesaran Masjid al Haram


Berdekatan dengan masjid., terdapat sebuah rumah berwarna putih. Saiznya sederhana, rumah tersebut kini dijadikan perpustakaan oleh kerajaan Saudi. Rumah tersebut merupakan rumah di mana Siti Aminah melahirkan insan Yang Terpuji iaitu Muhammad saw.

Hari-hari di sini semakin pantas berlalu. Sedar-sedar sudah hari terakhir. 

Malam terakhir saya di Haramain, saya agak terpesona. Namun, saya tidak dapat menangkap gambar. Bulan yang saya dapat lihat dari langit Mekah sangat cantik. Warnanya oren. Kalau lah saya ada membawa teleskop. -.-'. Pada waktu tersebut, bulan hampir purnama. Sekitar 10 Syaaban. Berserinya bulan pada malam tersebut mengingatkan saya pada junjungan besar Muhammad saw.


Betapa awan kasihkan baginda. Langit di mana suhunya sangat panas, tiada langsung awan. Tidak seperti uk, awan berkepul-kepul. Di bumi yang kering, langitnya biru, tiba-tiba ada sekepul awan memayungi seorang Hamba Allah yang mulia. Hamba Allah itu tidak lain adalah Nabi Muhammad. Itulah salah satu tanda kenabiaan baginda.

Di Haramain juga, tidak terlepas dari orang miskin yang meminta-minta Disini jugalah membuatkan saya mendapat jawapan dari soalan ini: mengapa umat Islam ini meminta-minta, tak nak kerja ke?.
Saya mempersoalkan kerana di Malaysia, yang meminta adalah orang Islam, Mesir, uk dan banyak lagi tempat. Jawapannya rupa-rupanya mudah. Pada saya, Allah mencipta manusia yang miskin adalah untuk praktikaliti umat Islam terhadap surah al-Maun. Surah yang pendek dimana ada menyebut tentang orang yang miskin. Jika kita tidak mahu memberi, cukuplah diam sahaja. Tidak perlu mengherdik. Kaya tidak bermaksud Allah memberi kemuliaan, miskin tidak bermaksud Allah memberi kehinaan.

Kedua-duanya adalah ujian.. Ada manusia diuji dengan kemewahan, ada manusia yang diuji dengan kemiskinan. Yang terbaik di sisi Allah adalah siapa yang bertaqwa.
semoga lambaian ini bukan yang terakhir

Hari-hari di sini pantas berlalu. Mahu atau tidak, saya perlu terima bahawa masa akan terus berlalu. Di hari terakhir, saya sempat mengerjakan tawaf wida'. Rasa sayu mula menyelubungi diri. Hati berharap, sangat berharap dan harapan itu hanyalah kepada Allah swt. Semoga lambaian ku ini bukanlah lambaian yang terakhir. Ameen.

Saturday, 30 July 2011

Hari--hari yang sudah berlalu [Mekah]- Part1.

Bumi barakah. Masa saya tiba di Haramain adalah pada musim panas. Jadi waktu siangnya agak panjang. Subuh sekitar jam 4.20 am , manakala Isyak sekitar jam 08:20 pm. Suhu pada waktu itu sangat panas. Hotel yang kami duduki mempunyai penghawa dingin yang sangat menyegarkan. Namun, itulah ujian. Saya bisikkan pada diri, nikmat air cond ataupun kesejukan saya boleh rasai di mana-mana. Nikmat suhu panas hampir separuh dari suhu menggelegaknya air, saya rasai di sini.

Maha suci Allah, dunia ini bulat, namun suhunya berbeza-beza. Dari bumu eropah yang suhunya sekitar 16-17 darjag celsius, saya beralih ke bumi Barakah ini dimana suhunya mencecah hingga 50 darjah celcius. Kulit saya menggelupas dan hampir terbakar, hidung saya berdarah. Namun, saya tidak mampu merungut kerana barulah saya faham bagaimana suasana bumi Rasulullah saw dan para sahabat. Bagaimana menderitanya Bilal apabila diikat dipadang pasir, ditimpakan atas badannya seketul batu besar namun masih kuat hatinya hinggakan lisannya tidak henti menyebut 'Ahad'.

Untuk aktiviti ziarah, kami lakukan pada waktu pagi. Suhu yang panas di sini tidak mengizinkan kami untuk bergerak aktif di siang hari.  Di Mekah, kami diberi kesempatan untuk mendaki Jabal Nur, dimana terletaknya Gua Hira. Kondisi kesihatan kami tidak mengizinkan kami untuk menawan Jabal Thur, tempat di mana Rasulullah dan Abu Bakar r.a bersembunyi selama tiga hari sebelum meneruskan perjalanan hijrah mereka ke Madinah.
Suasana untuk memasuki Gua Hira' yang sangat sesak membuatkan saya hanya mampu melihat dari atas.


Sepanjang 10 hari di Mekah, untuk kami berniat ihram umrah semula, kami akan berniat ihram di Masjid Tanaim. Jaraknya dari Mekah adalah lebih kurang 15 minit menaiki teksi. Tambang ke sana berbeza-beza mengikut jenis teksi yang kami naiki.

Sepanjang waktu ihram, banyak perkara yang tidak boleh kami lakukan. Antaranya adalah bergaduh. Apabila membaca buku, mungkin anda akan rasa bergaduh ini adalah bergaduh yang teruk. Rupa-rupanya, tawar menawar sewaktu ihram juga tidak dibenarkan kerana ianya melibatkan pertikaman lidah antara oramg yang ihram dan juga peniaga. Bertikam lidah juga dikategorikan sebagai bergaduh juga. Itulah sebabnya, apabila kita ingin menunaikan ibadah, jangan hanya berguru dengan buku kerana lapangan ibadah ini mudah dan luas. Tetapi bukan untuk dipermudahkan.

Pengalaman sewaktu berada di Masjidil Haram sangat berharga. Disana terdapat pelbagai bangsa dari serata dunia. Ramai orang menegur saya, namun saya hanya mampu tersenyum ataupun menganggukkan kepala. Saya bertanya,
" Do you speak english?"
Namun mereka masih bercakap dengan saya menggunakan bahasa arab. Lalu berdetiklah hati kecil saya.
" Rugi dulu tak belajar bahasa arab"
Apa yang saya tahu hanyalah,
" ma ismuki?"
"ismi Hidayah" [ok, jangan gelak].
Nasib baik sahabat bersama saya ada yang pernah mengambil bahasa arab hingga PMR, jadi faham lah sedikit- sedikit.

Tawaf. Ibadah ini memerlukan fokus, ibadah ini umpama solat. Tidak boleh berkata-kata dalam bahasa pertuturan. Bukan apa, tatkala sedang khusyuk bertawaf, tiba-tiba terasa ditolak. Disinilah kesabaran di uji, sama ada ingin menolak semula ataupun mendoakan semoga Allah mempermudahi urusan mereka yang menolak kita. Maklumlah, saiz saya agak mini. Saya tidak ditolak oleh orang muda, namun saya ditolak oleh orang-orang tua. Sabar itu ada pilihan. Sabar yang paling banyak pahala adalah sabar ketika menerima ujian. Bukan sabar selepas menerima ujian.Saya masih ingat kata seorang ustadz, berihram ini menyebabkan kita lahir sebagai seorang yang baru. Semoga Allah menerima segala amalan kita.



Di Mekah, keadaan kesihatan saya kurang memuaskan. Saya terkena selsema dan batu-batuk. Tetapi saya bersyukur kerana dipilih bersama-sama mengikuti solat Jumaat di Masjid-Al Haram. Khutbahnya pendek dan ringkas. Tidak seperti khutbah yang saya dengar di TV1. Walaupun saya tidak tahu bahasa arab, namun saya mentranslate khutbah sedikit-sedikit. Ada sebut pasal tazkiyatun nafs, ada sebut pasal ayat Quran 51:56. Ada juga hadis 1, iaitu hadis mengenai niat. Pada ketika ini, sekali lagi saya tepuk dahi.
" Tu la, dulu tak nak belajar bahasa arab".
Ok, lepas ni saya ingin belajar bahasa arab.

Rasa rindu sering muncul.


Masjid ketika waktu malam. Pintu masuk yang sering saya masuk adalah pintu bernombor 45.
Babul Fath. Kawasan sekitar adalah kawasan pembinaan, jadinya agak terdedah dengan debu. Akhirnya, saya yang lembik ini terkena selsema.