Showing posts with label Haramain. Show all posts
Showing posts with label Haramain. Show all posts

Thursday, 26 April 2012

Semoga Allah merahmati

Kedua ibu bapaku


Mak, abah. Anakmu ingin memohon maaf atas segala dan silap.

Sejak kecil anakmu sudah jauh meninggalkanmu

Namun, ya Allah aku memohon, tetapkan hatiku untuk sentiasa memanjatkan doaku untuk mereka

kedua ibu bapaku

Mak, abah.

Selamat pergi dan kembali.

Cinta mak dan abah  sangat unik

bukan seperti cinta sahabat

bukan seperti cinta kekasih

kerana cinta mereka sejak ku belum lahir lagi

melihat dunia.

sedangkan kasihku pada mereka

Apabila aku sudah berakal, mampu berfikir bahawa merekalah kedua ibu bapaku

Mak abah

Selamat pergi dan kembali

Doakan anakmu

yang sentiasa belajar mengasihimu keranaNya

Mak abah

Aku minta maaf.

coretan anakmu yang jauh dimata.
dekat di dalam doa.

Nurul Hidayah Bani

Thursday, 18 August 2011

Madinah Bumi Bercahaya -Part 3

Setelah diberi masa oleh Allah hampir sepuluh hari di Mekah, kini tibalah masanya kami bertolak ke Madinah. Jarak Mekah- Madinah adalah sekitar ~509++ km. Perjalanan ini memakan masa hampir 5 jam. Sepanjang perjalanan, saya memerhati keadaan geografi Mekah-Madinah. Panas, terik dan kering. Tiada bekalan air. Buminya berbatu-batu, penuh dengan debu. Kadangkala nampak juga beberapa ekor unta peliharaan. Pada saya, keadaan geografi ini agak mencabar. Keadaan yang berbatu, penuh debu membuatkan saya berfikir jauh, terkenangkan hijrah penduduk Islam Mekah suatu masa dahulu.
keadaan di tepi highway mekah-madinah
Madinah, saya sampai Madinah pada waktu malam. Madinah memang kota bercahaya. Kotanya terancang, cantik. Hati saya mengakui betapa tersusun dan hebatnya kota yang telah dipimpin oleh Rasulullah saw. Madinah berbeza dari Makkah secara geografi dan juga fizikalnya. Di Madinah, tumbuh-tumbuhan hidup subur, kurma berbuah dengan lebatnya. Di Mekah, kurang sedikit tumbuh-tumbuhan yang mampu hidup.



Hari pertama, kami dibawa melawat ke masjid-masjid. Antaranya adalah Masjid Quba dan juga Masjid Kiblatain. Masjid-masjid ini mempunyai kisah yang tersendiri. Masjid Quba merupakan masjid pertama yang dibina Rasulullah saw. Masjid ini mempunyai fadhilatnya tersendiri, menurut hadis nabi, pahala solat sunat dua rakaat disini bersamaan dengan pahala sekali umrah.
Masjid Quba, Masjid Quba merupakan masjid ke empat terbaik selepas masjid Al-Aqsa.

Masjid kiblatain pula, merupakan masjid yang mempunyai dua kiblat. Disinilah turunnya wahyu supaya umat Islam bertukar kiblat. (rujuk surah Al Baqarah:142-147)
Masjid dua kiblat. Baitul Maqdis dan Makkah. 180  degree arah  keduanya bertentangan

Selepas itu, kami juga dibawa ke medan Uhud. Medan inilah yang menyaksikan kekalahan umat Islam, keperitan yang dirasai oleh Rasulullah. Medan uhud tentunya punya kisah sendiri, medan yang menjadi saksi di mana umat Islam demotivated apabila mendapat khabar angin Rasulullah sudah wafat, medan yang menjadi saksi ketamakan manusia pada harta rampasan perang, medan yang menjadi saksi patahnya gigi geraham Rasulullah saw dan banyak lagi. Medan Uhud juga lah menjadi saksi 70  syuhada yang syahid.

kawasan berpagar: Kubur para syuhada
Bukit Uhud yang terletak di belakang kawasan perkuburan syuhada.
Jabal Rumat, bukit dimana pasukan pemanah Islam diletakkan. Rasulullah sudah berpesan, jangan tinggalkan bukit ini samaada menang atau kalah! Namun ketamakan atas harta rampasan perang menyebabkan mereka tinggalkan juga.
Akhirnya, Khalid bin Walid memimpin pasukan Quraisy Mekah mengambil alih bukit ini, maka bermulalah detik tragis peristiwa Uhud.
Melihat pada perkuburan para syuhada Uhud mengingatkan saya pada Saidina Hamzah, Mus'ab b Umair, Julaybi dan banyak lagi, selain itu juga pada Hanzalah. Hanzalah ialah seorang pejuang yang rela melepaskan pelukan sang isteri dan bersegera menyahut panggilan jihad. Ditakdirkan Allah, beliau syahid di medan uhud, lalu jenazah beliau dimandikan oleh para malaikat. Ketika jenazah Hanzalah dijumpai, jenazah tersebut dalam keadaan yang basah.

Kemudian, ustadz yang ditugaskan juga menceritakan akan hadis nabi mengenai bukit yang terbakar. Apabila bukit trbakar, maka itulah tanda kiamat semakin menghampiri. Bukit yang ditunjukkan oleh ustadz sudah terbakar 150 tahun yang lepas.
bukit terbakar. Ada nama bahasa arab dia, tapi dah lupa.

Kemudian, kami pun pergi ke ladang kurma. Disini kami membeli kurma nabi ataupun disebut kurma Ajwa.

keadaan tandan kurma di atas pokok, macam  pokok sawit, tapi tandan kurma lebih panjang berbanding sawit dan pelepah pokok ini tidak berduri.

Kebanyakan ladang kurma disini dimiliki oleh Bani Auf, keturunan sahabat jutawan iaitu Abdul Rahman b Auf. Di sini, ada satu pendapat yang popular iaitu,

"Madinah akhlaknya lebih baik berbanding orang Mekah, ini kerana kami sudi menerima Rasulullah namu orang Mekah mengusir Rasulullah."

Melalui kebersihan, pembangunan memang saya katakan Madinah lebih cantik dan indah.. Namun Mekah tetap ada auranya tersendiri iaitu aura rumah Allah~ Baitullah.

bersambung.....

Monday, 15 August 2011

Hari--hari yang sudah berlalu [Mekah]- Part2

Part 2 adalah tambahan dari part 1

Jarak dari hotel ke Masjid dapat diukur dengan masa, iaitu sekitar 15 minit berjalan kaki. 15 minit berjalan kaki di UK sewaktu spring atau summer mungkin tidak berapa mencabar berbanding 15 minit berjalan kaki dari hotel ke Masjid. Dengan debu yang berterbangan dan juga keadaan yang kering. semoga debu-debu ini menjadi saksi saya di akhirat kelak.
Perjalanan Masjid-hotel-masji yang berdebu hasil daripada projek pembesaran Masjid al Haram


Berdekatan dengan masjid., terdapat sebuah rumah berwarna putih. Saiznya sederhana, rumah tersebut kini dijadikan perpustakaan oleh kerajaan Saudi. Rumah tersebut merupakan rumah di mana Siti Aminah melahirkan insan Yang Terpuji iaitu Muhammad saw.

Hari-hari di sini semakin pantas berlalu. Sedar-sedar sudah hari terakhir. 

Malam terakhir saya di Haramain, saya agak terpesona. Namun, saya tidak dapat menangkap gambar. Bulan yang saya dapat lihat dari langit Mekah sangat cantik. Warnanya oren. Kalau lah saya ada membawa teleskop. -.-'. Pada waktu tersebut, bulan hampir purnama. Sekitar 10 Syaaban. Berserinya bulan pada malam tersebut mengingatkan saya pada junjungan besar Muhammad saw.


Betapa awan kasihkan baginda. Langit di mana suhunya sangat panas, tiada langsung awan. Tidak seperti uk, awan berkepul-kepul. Di bumi yang kering, langitnya biru, tiba-tiba ada sekepul awan memayungi seorang Hamba Allah yang mulia. Hamba Allah itu tidak lain adalah Nabi Muhammad. Itulah salah satu tanda kenabiaan baginda.

Di Haramain juga, tidak terlepas dari orang miskin yang meminta-minta Disini jugalah membuatkan saya mendapat jawapan dari soalan ini: mengapa umat Islam ini meminta-minta, tak nak kerja ke?.
Saya mempersoalkan kerana di Malaysia, yang meminta adalah orang Islam, Mesir, uk dan banyak lagi tempat. Jawapannya rupa-rupanya mudah. Pada saya, Allah mencipta manusia yang miskin adalah untuk praktikaliti umat Islam terhadap surah al-Maun. Surah yang pendek dimana ada menyebut tentang orang yang miskin. Jika kita tidak mahu memberi, cukuplah diam sahaja. Tidak perlu mengherdik. Kaya tidak bermaksud Allah memberi kemuliaan, miskin tidak bermaksud Allah memberi kehinaan.

Kedua-duanya adalah ujian.. Ada manusia diuji dengan kemewahan, ada manusia yang diuji dengan kemiskinan. Yang terbaik di sisi Allah adalah siapa yang bertaqwa.
semoga lambaian ini bukan yang terakhir

Hari-hari di sini pantas berlalu. Mahu atau tidak, saya perlu terima bahawa masa akan terus berlalu. Di hari terakhir, saya sempat mengerjakan tawaf wida'. Rasa sayu mula menyelubungi diri. Hati berharap, sangat berharap dan harapan itu hanyalah kepada Allah swt. Semoga lambaian ku ini bukanlah lambaian yang terakhir. Ameen.

Saturday, 30 July 2011

Hari--hari yang sudah berlalu [Mekah]- Part1.

Bumi barakah. Masa saya tiba di Haramain adalah pada musim panas. Jadi waktu siangnya agak panjang. Subuh sekitar jam 4.20 am , manakala Isyak sekitar jam 08:20 pm. Suhu pada waktu itu sangat panas. Hotel yang kami duduki mempunyai penghawa dingin yang sangat menyegarkan. Namun, itulah ujian. Saya bisikkan pada diri, nikmat air cond ataupun kesejukan saya boleh rasai di mana-mana. Nikmat suhu panas hampir separuh dari suhu menggelegaknya air, saya rasai di sini.

Maha suci Allah, dunia ini bulat, namun suhunya berbeza-beza. Dari bumu eropah yang suhunya sekitar 16-17 darjag celsius, saya beralih ke bumi Barakah ini dimana suhunya mencecah hingga 50 darjah celcius. Kulit saya menggelupas dan hampir terbakar, hidung saya berdarah. Namun, saya tidak mampu merungut kerana barulah saya faham bagaimana suasana bumi Rasulullah saw dan para sahabat. Bagaimana menderitanya Bilal apabila diikat dipadang pasir, ditimpakan atas badannya seketul batu besar namun masih kuat hatinya hinggakan lisannya tidak henti menyebut 'Ahad'.

Untuk aktiviti ziarah, kami lakukan pada waktu pagi. Suhu yang panas di sini tidak mengizinkan kami untuk bergerak aktif di siang hari.  Di Mekah, kami diberi kesempatan untuk mendaki Jabal Nur, dimana terletaknya Gua Hira. Kondisi kesihatan kami tidak mengizinkan kami untuk menawan Jabal Thur, tempat di mana Rasulullah dan Abu Bakar r.a bersembunyi selama tiga hari sebelum meneruskan perjalanan hijrah mereka ke Madinah.
Suasana untuk memasuki Gua Hira' yang sangat sesak membuatkan saya hanya mampu melihat dari atas.


Sepanjang 10 hari di Mekah, untuk kami berniat ihram umrah semula, kami akan berniat ihram di Masjid Tanaim. Jaraknya dari Mekah adalah lebih kurang 15 minit menaiki teksi. Tambang ke sana berbeza-beza mengikut jenis teksi yang kami naiki.

Sepanjang waktu ihram, banyak perkara yang tidak boleh kami lakukan. Antaranya adalah bergaduh. Apabila membaca buku, mungkin anda akan rasa bergaduh ini adalah bergaduh yang teruk. Rupa-rupanya, tawar menawar sewaktu ihram juga tidak dibenarkan kerana ianya melibatkan pertikaman lidah antara oramg yang ihram dan juga peniaga. Bertikam lidah juga dikategorikan sebagai bergaduh juga. Itulah sebabnya, apabila kita ingin menunaikan ibadah, jangan hanya berguru dengan buku kerana lapangan ibadah ini mudah dan luas. Tetapi bukan untuk dipermudahkan.

Pengalaman sewaktu berada di Masjidil Haram sangat berharga. Disana terdapat pelbagai bangsa dari serata dunia. Ramai orang menegur saya, namun saya hanya mampu tersenyum ataupun menganggukkan kepala. Saya bertanya,
" Do you speak english?"
Namun mereka masih bercakap dengan saya menggunakan bahasa arab. Lalu berdetiklah hati kecil saya.
" Rugi dulu tak belajar bahasa arab"
Apa yang saya tahu hanyalah,
" ma ismuki?"
"ismi Hidayah" [ok, jangan gelak].
Nasib baik sahabat bersama saya ada yang pernah mengambil bahasa arab hingga PMR, jadi faham lah sedikit- sedikit.

Tawaf. Ibadah ini memerlukan fokus, ibadah ini umpama solat. Tidak boleh berkata-kata dalam bahasa pertuturan. Bukan apa, tatkala sedang khusyuk bertawaf, tiba-tiba terasa ditolak. Disinilah kesabaran di uji, sama ada ingin menolak semula ataupun mendoakan semoga Allah mempermudahi urusan mereka yang menolak kita. Maklumlah, saiz saya agak mini. Saya tidak ditolak oleh orang muda, namun saya ditolak oleh orang-orang tua. Sabar itu ada pilihan. Sabar yang paling banyak pahala adalah sabar ketika menerima ujian. Bukan sabar selepas menerima ujian.Saya masih ingat kata seorang ustadz, berihram ini menyebabkan kita lahir sebagai seorang yang baru. Semoga Allah menerima segala amalan kita.



Di Mekah, keadaan kesihatan saya kurang memuaskan. Saya terkena selsema dan batu-batuk. Tetapi saya bersyukur kerana dipilih bersama-sama mengikuti solat Jumaat di Masjid-Al Haram. Khutbahnya pendek dan ringkas. Tidak seperti khutbah yang saya dengar di TV1. Walaupun saya tidak tahu bahasa arab, namun saya mentranslate khutbah sedikit-sedikit. Ada sebut pasal tazkiyatun nafs, ada sebut pasal ayat Quran 51:56. Ada juga hadis 1, iaitu hadis mengenai niat. Pada ketika ini, sekali lagi saya tepuk dahi.
" Tu la, dulu tak nak belajar bahasa arab".
Ok, lepas ni saya ingin belajar bahasa arab.

Rasa rindu sering muncul.


Masjid ketika waktu malam. Pintu masuk yang sering saya masuk adalah pintu bernombor 45.
Babul Fath. Kawasan sekitar adalah kawasan pembinaan, jadinya agak terdedah dengan debu. Akhirnya, saya yang lembik ini terkena selsema.



Saturday, 16 July 2011

Hari-hari yang sudah berlalu. 29 & 30 Jun

29 Jun 2011
Bertolak  ke London,menggunakan perkhidmatan bas national ekspress sekitar jam 5.30 petang, saya dan Atiqah ke London Victoria bersama-sama beg untuk pulang ke Malaysia yang approximately beratnya ~20 kg. Berat, memang berat. Dari London Victoria untuk ke rumah sisters London yang terletak di Aldgate agak menyeksakan kerana terpaksa naik turun tangga yang ada di stetsen tube.

Alhamdulillah Allah permudahkan, ramai yang mahu membantu dan mereka yang membantu adalah mereka yang hanya mempunyai nilai. Kadangkala saya lihat, mereka yang mempunyai iman dan nilai hanya memandang sepi kami berdua yang bersusah payah membawa beg  yang berat. Satu benda yang perlu sama-sama kita renungkan.

Sesampainya sahaja di Ansar, saya disambut dengan suamnya oleh ansarian. Terasa kehangatan ukhuwah dan   berkurangnya rasa letih akibat membawa beg yang berat tadi. Malamnya tidur awal. Recharge kembali tenaga yang amat-amat diperlukan untuk esok harinya.

30 Jun.

Perlu bersiap dan memastikan segala persiapan sudah dilakukan. Bersama-sama saya adalah 7 lagi jemaah akhawat yang akan mengharungi  apa yang akan saya hadapi di Haramain nanti. Ada yang saya sudah kenal, ada yang pertama kali baru jumpa. Namun, akibat matlamat yang sama, saya dapat rasakan bahawa saya sudah lama disusun untuk mengenali mereka.

Untuk jemaah wanita, kami semua berjumlah 8 orang. 2 orang adalah Brummies dan 6 orang lagi adalah Londoners. Sekitar jam 11 pagi kami bertolak ke rumah kak Manihah untuk menghadiri kursus umrah. Disana kami diberi penerangan ringkas mengenai manasik umrah. Ringkas dan nampak mudah. Namun saya belum berhadapan dengan realiti, baru teori. Jadinya itulah kesimpulan saya pada waktu itu.

Selesai makan tengahari, kami semua seramai 10 orang( tambah lagi dua jemaah lelaki), bertolak ke London Heathrow. Hati mula berdebar. Perjalanan dari London ke Jeddah memakan masa hampir 6 jam. Dari London, kami semua sudah siap berpakaian ihram.

Dalam kapal terbang, kelihatan jemaah agak berdebar-debar menanti masa kapal terbang melintasi kawasan miqat. Risau kalau-kalau tidak dibuat announcement, lalu kami tidak berniat pada tempat yang sepatutnya. Berdebar-debar pun, akhirnya kami semua tumbang jua. Setelah hampir 5 jam berada di dalam flight, kami dikejutkan untuk berniat ihram di sempadan Miqat. Rupa-rupanya sempadan untuk berniat ihram tidak jauh dengan Jeddah. Jadi tidak perlu berdebar-debar menanti tempat untuk berniat ihram sekitar 4 jam pertama.