Saturday, 23 February 2013

Teknologi oh teknologi-Kindle

Kindle. Buku elektronik yang komposisi cahaya pada skrinnya seakan-akan buku. Inilah teknologi yang berjaya menarik minat saya sewaktu tahun 2011 kerana rasa ingin tahu.

Akhirnya, pada Mei 2011 saya menjadi pemilik sebuah kindle generasi 3, kindle yang mempunyai keyboard. Namun, biasalah..kindle, tablet ataupun mana-mana e-reader yang lain tetap tidak mampu mengalahkan paperback.  Cumanya, manusia zaman kini ingankan sesuatu yang lebih mudah akibat terpaksa bergerak dengan lebih pantas. Kindle membolehkan saya menyimpan pelbagai buku cerita dan membawanya kemana-mana dengan beratnya yang hanya sekitar 200g. Kiranya, jika saya mengisi 10 buah cerita dalam kindle, bolehlah diumpamakan saya membawa 10 buah buku didalam beg. Mudah bukan. Kemudian, masa berlalu pantas..e-reader yang lain pun mula tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan, adanya nook dan kobo.

Buku. Memang sinonim dengan budaya disini, kiranya saya sejak dahulu gemar memerhatikan gelagat manusia, waktu 2010 sekiranya saya berada di dalam pengangkutan awam seperti bas mahupun keretapi, saya akan lihat mereka membaca buku paperback, namun sekarang, saya lihat memang ramai yang sudah menggunakan kindle. Ianya mudah dibawa kemana-mana. Harga buku disini juga sangat murah berbanding Malaysia, buku-buku terpakai boleh didapati semurah 50p. Tahun lepas, hampir sekotak buku saya pos dari UK. Kadangkala saya agak liat untuk menghabiskan buku didalam kindle, paperback juga menjadi pilihan. Takpela..simpan je la kindle ni dulu.

Kindle generasi 3 yang mempunyai papan kekunci .

Tahun ketiga saya agak sibuk, jadinya itulah alasan saya mengapa saya kurang membaca ditahun tersebut. Alhamdulillah, kini di tahun empat, masa saya lebih fleksibe, jadinya dapatlah saya menghabiskan beberapa buah buku. :).

Saya akui, saya adalah seorang yang mudah menaruh minat pada teknologi-teknologi baru, kiranya dahulu di Selly Oak, Birmingham..diantara pelajar perempuan disitu sayalah orang pertama yang memiliki kindle. he he kemudian  di ikuti oleh beberapa orang junior saya yang lain. Nampaknya, adalah sikit saham disitu kan. :)

Tahun 2013, muncul pula cita-cita ingin upgrade kindle kepada kindle paperwhite. Kindle baru yang lebih canggih, menggunakan teknologi skrin sentuh, boleh diubahsuai kadar kecerahan skrin, aduh..sangat membuatkan saya ingin sangat untuk memilikinya . Tapi, nanti dulu....dimana saya hendak letak kindle saya yang lama? Bukan membazir ke dah ada kindle, tapi nak beli yang lain. 

Apapun, hasrat hati tercapai juga apabila ada tetamu bertandang kerumah saya. Tetamu dari Malaysia, wow! pernah menjadi anggota misi Aqsa2Gaza2. Anggota misi yang ke Gaza sewaktu bulan Ramadhan tahun 2011, melalui beliau juga, saya mendapat tahu banyak mengenai Gaza yang tidak dilaporkan dalam berita, mungkin jika berita akan laporkan perkara yang besar-besar, namun perkongsian dengan beliau telah banyak membantu saya memadam salah faham tentang Gaza. Ditakdirkan Allah, beliau sememangnya mencari e-reader yang harganya berpatutan. Mula-mula sayang rasanya untuk melepaskan kindle 3, tetapi setelah dipujuk-pujuk dan saya tahu beliau akan gunakan kearah kebaikan, akhirnya kindle3 telahpun bertukar hak milik. Selamat tinggal kindle ku (mei 2011-feb2013), banyak kenangan  kita ukir bersama.

Malam yang sama saya serahkan kindle3 kepada pemilik barunya, malam itu jugalah saya menempah kindle paperwhite dan inilah dia kindle paperwhite.

Alhamdulillah, kindle paperwhite. 


Coretan
Hidayah Bani
Nottingham, UK
230212
1912



Tuesday, 19 February 2013

[Reviu] A street Cat Named Bob

Bestseller UK? Saya tertanya-tanya, buku apakah ini? Rating tinggi, namun ceritanya adalah mengenai kucing, seekor kucing. A Street Cat Named Bob. Apa yang Bob mampu bercerita? Kisah benar? Jika benar, siapa yang bercerita?

Itulah persolan-persoalan yang menjengah apabila saya membelek-belek buku di laman sesawang amazon, mencari buku terbaru untuk dibaca walaupun buku dirumah berlambak tak terbaca-baca. 

Setelah sekian lama berfikir samaada untuk membeli buku tersebut atau tidak, akhirnya dapatlah juga saya membacanya walaupun hanya versi kindle. Ok lah kan.


Menarik! Jalan cerita yang tidak tipikal. Rupa-rupanya cerita ini adalah mengenai seorang lelaki jalanan iaitu penulis buku ini bersama kucing yang dijumpainya iaitu Bob. James, seorang busker dan Big Issue Seller tidak ketinggalan juga beliau adalah seorang bekas penagih dadah yang cuba meninggalkan dadah sepenuhnya. Cerita in santai, kisah benar. Sebuah kisah benar mengenai seorang homeless yang berusaha memperbaiki kehidupannya dan semenjak kedatangan Bob, kehidupannya semakin lama semakin baik. Membuatkan dirinya menjadi seorang yang tidak mementingkan diri dan bertanggungjawab. Cerita yang sedikit telah mengubah persepsi saya kepada busker dan big issue seller. 

Buku ini saya beri rating 4.4/5. Apa yang akan saya ingat adalah apabila saya pulang ke Malaysia kelak, bilamana saya ingin ingat semula bagaiman keadaan di London, mungkin buku ini yang akan menjadi pilihan saya untuk mengimbau kembali kenangan di sana. Sesak di bandaraya London, Tiub, keadaan sosial, bas dan juga perkhidmatan-perkhidmatan disana.

Saya sertakan dua buah video yang anda boleh lihat perbezaan pada James Bowen (penulis) dan Bob! 




James dan Bob, anda boleh lihat bagaimana keadaan James ketika ini. Memang kelihatan seperti seorang yang tidak terurus. Video ini mungkin dirakam lebih awal.




James, mungkin pada waktu kehidupannya lebih baik.

Apapun, apa yang saya dapat melalui cerita ini adalah, setiap manusia mempunyai harapan untuk berubah kearah yang lebih baik, cuma jalan yang dimudahkan adalah berbeza-beza. 

[reviu] From Beirut to Jerusalem

Tajuk: From Beirut to Jerusalem

Bil. Mukasurat : 302

Publisher : Grafton

Harga : Berbeza-beza (Link Amazon)

Rating : 4.5/5









Lama rasanya saya tidak menulis, hampir dua bulan. Dua bulan, dalam masa itu ada juga ketikanya saya menjengah laman ini. Entri sebelumnya adalah mengenai cerita Di bawah lindungan kaabah. saya kira saya sudah tiada minat untuk membuat reviu mengenai cerita tersebut. Jika anda berminat, anda boleh menonton ceritanya dan fikirlah secara kritikal mengenai cerita tersebut. Pandangan setiap orang berbeza-beza.

Saya mengambil masa hampir seminggu untuk menghabiskan buku ini. Buku yang saya kira hebat, buat saya berfikir, benarkah sebegini keadaannya? Seperti yang diceritakan oleh penulis iaitu seorang ortopedik yang menjadi sukarelawan di sana. Ang Swee Chai, wanita asia, tubuhnya kecil sahaja, seperti wanita asia tipikal. Namun semangatnya, besar.

Kucar-kacir di Timur Tengah

Beirut terletak di Lubnan, manakala Jerusalem terletak di Palestin. 'From Beirut to Jerusalem', kisahnya dari Beirut ke Jerusalem, latar belakangkan tahun 1980-an, dimana waktu itulah terjadi perang saudara di Lubnan, Serangan Israel Laknatullah terhadap kem Sabra dan Shatilla, kucar-kacir di negara jiran. Semuanya masih ada, masih ada hingga kini. Rentetannya masih merah, segar lagi. Walaupun cerita ini adalah 30 tahun yang lalu, bekasnya masih lagi berdarah, merah. Belum lagi sembuh mahupun berparut!

Saya mengambil langkah yang selamat dalam mereviu cerita ini, tidak ingin bercerita panjang. Apa yang paling penting adalah nilai kemanusiaan. Cerita ini adalah kisah benar, yang membuatkan saya teringat-ingat hingga kadangkala boleh termimpi akan keadaan mereka di sana. Cerita ini adalah salah satu cerita yang membuatkan saya sedih, geram dengan ketidakadilan yang berlaku di muka bumi ini.

Adakah sekadar sebuah buku cerita?

Salah satu mukasurat yang saya rasa paling menyentuh hati saya sebagai seorang manusia,  iaitu  apabila mereka dibenarkan untuk memakan bangkai/mayat manusia. Keadaan di kem pada ketika itu sangat kritikal. Amat.
Tidak, ianya adalah sebuah rentetan. Buku ini tidak sesuai dibaca oleh pembaca yang ingin sentiasa tersenyum sepanjang jalan cerita, mengidamkan pengakhiran cerita yang seronok, tidak...cerita ini tidak menjanjikan semua itu. Cerita ini menjanjikan sebuah realiti masa kini, bukan lagi menjanjikan seekor katak yang hodoh apabila dicium tuan puteri bertukan menjadi seorang putera yang kacak. Tiada langsung. Buku yang memaksa anda berfikir, memaksa anda menerima realiti. Aduh, realiti yang menyakitkan, terutamanya jika anda seorang manusia yang masih berhati perut. Sekiranya anda masih manusia, itu yang pertama, tanpa mengenal apakah bangsa dan agama anda. Cukuplah syarat anda seorang manusia untuk cuba menghayati cerita ini.


Percayalah, ia bukan dongengan kisah dari kayangan.








Monday, 17 December 2012

[reviu] Di bawah Lindungan Kaabah 1




Saya sudah mendengar tajuk cerita ini sejak awal tahun lagi, namun keinginan untuk melihat cerita ini hingga ke hujungnya hanya diizinkan baru-baru ini sahaja. Alhamdulillah.

Tanpa berlengah, memang saya akui cerita ini sangat bermakna dan menyentuh perasaan. Hasil karya Buya Hamka tidak pernah mengecewakan, sama seperti karyanya yang bertajuk Tenggelamnya Kapak Van Der Wijck. Buya Hamka, seorang cendikiawan nusantara yang mempertangahkan kisah realiti masyarakat, dengan cita dan cinta yang memang menjadi asam garam kehidupan manusia.

Berlatarkan era 1920-an, di Padang, Indonesia,

Cerita ini mengisahkan Hamid, anak pembantu rumah kepada Engku Jaafar. Hamid mencintai anak Engku Jaafar iaitu Zainab, apabila zainab bertanya kepada Hamid, apakah citanya yang paling tinggi, jawab Hamid; dia ingin menunaikan haji. Ya, satu cita yang sangat tinggi dan juga pada Zainab satu penantian yang akan dihadapi.  Mana tidaknya, di era berkenaan menunaikan haji merupakan satu ibadat yang  memerlukan satu perjalanan yang panjang, hingga digarapkan dalam cerita ini;

" Aku kagum dengan mereka yang daat menunaikan haji, menabung bertahun-tahun, kemudian bermudik berbulan-bulan menuju ke Tanah Suci, boleh sahaja ketika mudik, mereka pergi dan tidak akan kembali"



 Kisah cinta mereka dengan beberapa halangan dan dugaan yang mereka hadapi dan juga cita-cita Hamid yang ingin dikecapi. Halangan yang  berkisarkan  latar belakang sosial pada ketika itu, taraf ekonomi, pendidikan dan juga cara fikir masyarakat terhadap sesebuah isu. Pendek kata ini adalah kisah cinta yang terhalang kerana perbezaan darjat.


Untuk melewati badai, kita harus terus berjalan, bukan berhenti.
Dan untuk terus berjalan, hanya ada dua hal yang harus kita bawa..
KEYAKINAN dan CINTA...






Terdapat beberapa perkara yang mencuit saya untuk saya kongsi bersama, antaranya ialah

1) Pendidikan
2) Sosioekonomi setempat
3)Cara fikir & penerimaan masyarakat terhadap sesebuah isu
4) Keadilan Sosial


Akan disambung,


Friday, 16 November 2012

[Reviu] Filem: Laskar Pelangi


Filem: Laskar Pelangi

Durasi : 2 jam 30 minit

Pengarah : Riri Riza, merupakan adaptasi dari novel Laskar Pelangi
                karya Andrea Hirata











sebuah filem yang diadaptasi dari novel Laskar Pelangi, malangnya saya belum membaca novel tersebut, jadi saya tidak mampu menilai adakah filem ini benar-benar membangkitkan roh yang dicoret oleh Andrea Hirata dengan baik.

Telah banyak cubaan yang saya lakukan untuk fokus melihat filem ini, sejak dari tahun pertama pengajian saya di universiti, hinggalah ke tahun akhir, semua cubaan berakhir dengan saya hanya melihat suku dari filem ini. Seolah-olah saya tidak apat merasai apa yang ingin disampaikan melalui filem ini atau kata mudahnya saya tidak faham apakah mesejnya.

Akhirnya, ketika saya di tahun empat pengajian, tergerak juga hati saya untuk menonton semula filem ini, bukan apa.. hanya perasaan ingin tahu. Filem ini  menjadi buah mulut orang dan  novelnya juga mendapat sambutan. Perasaan ingin tahu membawa saya untuk cuba menonton kembali filem ini.

Setelah beberapa kali cubaan, barulah saya faham apakah mesej filem ini. Ternyata filem ini mampu meninggalkan kesan kepada penonton. Saya kira tulang belakang filem ini adalah kepentingan pendidikan tanpa mengira kelas sosial,semangat dalam menuntut ilmu dan juga semangat murabbi dalam usaha menyampaikan ilmu dalam keadaan yang holistik, syumul dengan mengambil kira aspek duniawi dan ukhrawi. Saya kira filem ini baik untuk ditonton oleh semua lapisan masyarakat terutamanya golongan pendidik.



Filem ini adalah filem yang realistik, berlatarbelakangkan zaman 80-an, ketika mana Malaysia dan Indonesia gigih dan bergantung kepada perusahaan bijih timah. Namun, lewat 80-an, harga bijih timah menjunam jatuh di pasaran, menyebabkan Indonesia dan Malaysia rugi besar. Latar belakang sosial pula adalah kelas sosial yang rendah, dimana murid-murid di SD Muhammadiyah adalah anak nelayan, buruh bijih timah. Mereka bukan anak kelas pertengahan apatah lagi golongan elit. Lihat muka sahaja, semuanya comot-comot belaka. Pada saya antara mesej filem ini juga adalah hak kesamaan dalam pendidikan masih belum tercapai lagi.

Pendek kata, filem ini adalah filem yang sarat dengan mesej mengenai kepentingan memperjuangkan pendidikan yang holistik, mengambil kira aspek dunia dan ukhrawi dan juga hak mendapatkan pendidikan tanpa mengira kelas sosial supaya kita tidak mengabaikan setiap unit modal insan yang hakikatnya mampu memberi sumbangan yang besar kepada masyarakat, negara dan agama. Sebagai seorang guru pelatih, cerita ini sangat menyentuh perasaan. Besar mesej yang disampaikan jika dibandingkan dengan filem SAM, Hanya Tiga Hari, Ombak Rindu dan sebagainya.


Hidayah Bani
Nottingham




Monday, 12 November 2012

catatan

Lama, lama sangat rasanya tak menulis di laman ini. Kalau waktu cuti dulu, habis je satu buku terus rasa nak update kat blog. Tapi sekarang, untuk fokus baca sebuah buku dalam satu masa, agak susah. Mungkin sahaja saya sendiri yang masih lagi bertatih mengurus masa.

Saya masih ingat lagi, perbualan dengan kawan-kawan satu masa dahulu, mungkin sahaja 5, 6 bulan yang lepas. Bila sahaja orang kata PGCE Nottingham sibuk, saya tidak mengiyakan, tetapi saya hanya berkata, "bukan sibuk, tapi kena pandai urus masa." Manakan tidak, ada pihak yang membanding-bandingkan antara PGCE di London dan di Nottingham. Pada waktu tersebut, belum rasa lagi apa yang dimaksudkan, jadi untuk mengiyakan macam kurang selesa sebab belum mengalaminya.

Lebih sebulan menjadi pelajar di UoN. Benarlah, bukan sibuk sangat PGCE di sini, cuma perlu pandai urus masa. Kadangkala kerjanya tidaklah banyak mana, tapi bila deadline hampir tiba, baru rasa.. eh! Mana masa aku yang lepas? Maka, terungkaplah perkataan 'sibuk' dari bibir masing-masing. Saya juga mengalaminya, tapi cuba untuk mengambil ibrah dari peristiwa yang lepas dan semoga tidak akan mengulangi pembaziran masa di masa akan datang.

Catatan kisah peribadi bukanlah pilihan pertama saya jika ingin mencoret di laman ini. Namun, kisah PGCE ini hanya timbul dari perasaan ingin berkongsi, bukan menghebah mengatakan sayalah manusia paling bizi.

Tiga tahun belajar sains tulen, namun bila tiba setahun belajar sains sosial ianya bagaikan satu kejutan. Tapi jauh di dasar hati, saya seronok belajar. Namun ada juga kelemaha-kelemahan yang ada dalam diri yang mungkin juga boleh menjadikan rasa seronok itu hilang. Iyalah, saya juga manusia biasa, kadangkala bukan kenal kehendak diri ingin macamana. Apa yang saya perasan tentang diri saya, dari kecil saya bebas membuat keputusan, apabila keputusan itu dirasa tidak tepat, mulalah saya rasa peribahasa 'sudah terhantuk baru terngadah' sesuai dengan keadaan diri. Terhantuk inilah yang banyak membuatkan diri saya belajar. Namun saya tak nak lah terlalu kerap terhantuk kerana ianya boleh memudaratkan diri, biarlah terhantuk ini membuatkan saya lebih berjaga-jaga agar tidak terhantuk lagi.

Catatan pendek, dicoret ketika menunggu. Masa menunggu juga sangat berharga. Tapi kadangkala terlalai juga, boleh jadi masa menunggu itu digunakan untuk facebook dan twitter ataupun online shopping. Sedar-sedar, bila masa menunggu sudah tamat, baru rasa, eh..apa yang aku dah buat sejam tadi? macam tak dapat apa pun .

Catatan pendek. Buat simpanan untuk dibaca apabila diri melangkah semakin dewasa. Apabila lihat kembali catatan di masa silam, senyuman mengiringi setiap patah kata-kata yang dibaca. Kadangkala tepuk dahi..wah, macamni ke aku dua tahun yang lepas. Apapun selagi catatan itu tidak memalukan diri, ianya masih bermakna untuk dirai. Jika terlalu peribadi, cukuplah kalau saya sendiri simpan dalam memori.

Catatan pendek, buat kenangan.


Hidayah Bani
Nottingham

Sunday, 23 September 2012

[reviu] Mandala Dunia Kedua

Tajuk: Mandala Dunia Kedua

Penulis: Azizi Haji Abdullah

Penerbit : PTS Litera

Harga: RM 18.00


Teringat saya akan perbualan dengan seorang kawan, mungkin main-main, mungkin juga serius.

A: Eh, ko nak kahwin dengan tokey balak tak?

B: Tak nak la..

A: Kenapa taknak? kaya apa...Takpun ko tak nak sebab dia rosakkan alam sekitar.

B: Ha ah, sebab dia merosakkan alam sekitar,sebab tu la aku tak nak.

Alam Sekitar, nadi bumi. Hutan belantara, jantung penguat kehidupan di dunia. Novel terakhir Ustadz Azizi Haji Abdullah sebelum beliau meninggal dunia. Saya kira satu karya hebat. Penulis bukan sahaja mempunyai susunan kata yang menarik, bahkan penulis juga menerangkan keadaan di dalam novel dengan sungguh terperinci, hingga terdetik  hati saya, "hebatnya, penulis umpama ahli ekologi yang memang sangat memahami keadaan di dalam hutan belantara." Novel ini juga merupakan sebuah novel akidah, penuh perincian dan setiapnya dikaitkan dengan Allah Maha Pencipta.

Dua watak utama, Sima dan Jon. Seorang pensyarah dan seorang sarjana ekologi. Kedua-duanya mahu mencari dunia kedua, mahu lari dari hiruk pikuk hutan batu yang penuh dengan keserabutan, penyelewengan, jenayah dan segala-galanya sangat menyesakkan minda. Sima dan Jon, berkenalan lalu apabila menyedari mereka berdua mempunyai matlamat yang sama, iaitu mahu lari dari hutan batu, akhirnya keduanya merancang untuk meneroka Banjaran Titiwangsa, mencari dunia kedua.

Jon, berbekalkan nilai moralnya, dia tidak membawa tuhan bersama, cukuplah sekadar mempunyai nilai moral yang kukuh, masuk ke hutan belantara, untuk mengagumi dan memelihara ciptaanNya, bukan Pencipta. Sima, berbekalkan keimanannya bersama-sama Jon ke hutan belantara. lalu bermulalah kehidupan mereka berdua, bersama dalam satu khemah.

Melalui novel ini, pelbagai persoalan yang bermain di minda saya, sebagai seorang manusia yang normal, saya terfikir, apakah Sima dan Jon mampu bertahan hidup bersama, sima dengan imannya sebagai seorang muslim, jon dengan nilai moralnya. Di dalam novel ini juga, penulis sarat meletakkan elemen-elemen aqidah melalui perbualan Jon dan Sima.

Banjaran Titiwangsa, hakikatnya banjaran ini amat dekat dengan kehidupan saya. mana tidaknya, saya hidup berdekatan dengan banjaran ini. Usai membaca novel ini, apabila saya melihat banjaran Titiwangsa, unpama saya kembali semula ke dunia novel Mandala Dunia Kedua. Ustadz Azizi, cantik sekali di gambarkan keadaan banjaran titiwangsa, hebat sekali kesannya kepada saya. Apabila membaca novel ini, hati saya umpama tergores juga apabila melihat ada kesan tarahan tanah di banjaran ini. Semakin lama manusia semakin tamak, semakin rakus mencabul hutan tropika hingga lupa bahawa itulah tunjang kehidupan mereka.

Hutan, banjaran. Saya pasti anda sudah tahu apakah kegunaannya. Tanpa banjaran dan hutan, mungkin kita tidak mampu hidup dengan amannya.

Saya teringat satu point yang saya baca dari buku, Doktor Umum, karya Dr. Mahathir. Beliau menyatakan bahawa perindustrian lebih menguntungkan dan memberi peluang pekerjaan berbanding sektor pertanian. Bayangkan, seekar tanah apabila digunakan untuk pertanian, ianya hanya mampu memberi peluang pekerjaan kepada seorang petani, namun apabila seekar tanah dibangunkan untuk perindustrian, ianya mampu memberi peluang pekerjaan yang lebih banyak, boleh jadi berpuluh-puluh. Namun, apabila di fikirkan semula, bila tiba masanya, manusia tidak akan mampu hidup dengan hasil perindustrian. Manusia tidak akan mampu hidup dengan hanya ada kereta besar, telefon mudah alih yang canggih, teknologi yang hebat, namun tiada makanan. Ianya menyedarkan saya akan sehebat manapun pembangunan di masa ini, namun apabila tiada keseimbangan, hanya kerosakan yang akan berlaku. Saya tidak mengatakan pendapat Dr. M salah, pendapatnya betul dan dengan pemikiran beliaulah negara kita membangun. Namun, keseimbangan itu perlu ada supaya kita mampu meneruskan kemandirian hidup secara semula jadi. Tidak perlu meneroka planet lain untuk didiami, cukuplah dengan memakmurkan bumi yang ada ini dengan sebaiknya.

Mandala Dunia Kedua, sebuah novel yang pastinya tidak mengecewakan. Saya kira sudah hampir tiga minggu saya habis membaca novel ini, namun isinya masih bermain-main di fikiran saya. Satu karya sastera yang sarat dengan ilmu, kesedaran dan juga pasak aqidah. Semoga roh pennulis ditempatkan di kalangan roh orang-orang yang soleh. Setiap yang beliau titipkan, merupakan ilmu yang sangat berguna, dunia dan akhirat.


Wallahualam

Hidayah Bani
Nottingham.